dekotaman

Terapi ketenangan sepanjang masa

Oleh Hartini Mohd Nawi

Pemahaman yang baik berkenaan tanaman penting dalam merencanakan persekitaran lebih segar dan bermanfaat.

Tanaman menghasilkan oksigen, makanan, gentian, bahan api, dan ubat-ubatan untuk kegunaan manusia dan hidupan lain.

Malah kita juga maklum tanaman menyerap karbon dioksida melalui proses fotosintesis.

Menempatkan beberapa tanaman hiasan sesuai dalam rumah antara pendekatan terbaik untuk persekitaran sihat.

Menurut pakar landskap Jabatan Pertanian Muhamad Adli Salihin Samsudin, dalam kalangan kita selesa dengan beberapa tanaman hiasan dalam rumah kerana ia bukan saja membersihkan udara, malah menjadi terapi ketenangan sepanjang masa.

“Dalam rumah perlu ada sekurang-kurangnya lima hingga enam jenis tanaman hiasan.

“Perkara paling utama yang perlu diambil kira adalah kesesuaiannya sebagai tanaman dalam rumah.

“Ini kerana kehadiran elemen semula jadi itu mempunyai fungsi tersendiri termasuk mampu membersihkan udara pada ruang kediaman anda,” katanya.

Antara yang sesuai adalah pokok spider plant atau nama saintifiknya chlorophytum comosum. Ia dikatakan berfungsi menukarkan udara toksin menjadi oksigen.

“Sesuai dengan namanya, tanaman hiasan ini memiliki daun yang panjang dan terjuntai ke bawah seperti kaki labah-labah.

“Spider plant ini memiliki warna daun yang terdapat corak putih atau kuning hingga menjadikannya tarikan penyeri ruang.

“Apatah lagi ia memiliki daya serap yang sangat tinggi terhadap racun di udara,” kata Muhamad Adli Salihin.

Begitu juga dengan pokok peace lily yang dikatakan boleh menyingkirkan benzene, formaldehid trikloretilena, toluena, xilena.

Tanaman hiasan ini juga mampu hidup subur di tempat teduh termasuk di bawah suhu 27 darjah Celsius selain sesuai diletakkan di kawasan taman.

Bamboo palm juga dikatakan tanaman hiasan dalaman ketiga terbaik menyingkirkan formaldehid dan sesuai diletakkan pada ruang yang mempunyai perabot.

Tidak ketinggalan pakis boston atau nama saintifiknya nephrolepis exaltata juga antara tanaman pembersih udara selain menyamankan suasana.

“Sifat semula jadinya yang tahan lasak dan tidak perlu kerap disiram membuatkannya sering menjadi pilihan,” kata Muhamad Adli Salihin.

Penyelidikan dari NASA Clean Air Study turut membuktikan dracaena fragrans atau dikenali sebagai corn plant mampu membersihkan yang dicemari formaldehyde, xylene dan toluene.

“Dalam keterujaan dengan tanaman hiasan di ruang dalaman, anda seharusnya peka dengan aspek penjagaan dan penyelenggaraannya.

“Sesekali dedahkan tanaman ini dengan cahaya matahari supaya ia kekal subur sepanjang masa.

“Lakukan siraman dan pembajaan berkala khususnya penggunaan baja organik. Gunakan juga tanah campuran yang betul,” kata Muhamad Adli Salihin.

Muhamad Adli Salihin berkata, jika tanaman hiasan seperti money plant atau nama saintifiknya Scindapsus aureus diletakkan dalam bekas berisi air, air berkenaan perlu kerap ditukar bagi mengelakkan pembiakan nyamuk.

Pada masa sama tanaman hiasan juga perlu bebas habuk atau debu. Lakukan penyelenggaraan berkala termasuk mengelap daun pokok yang kerap terkena habuk.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 10:38am
d