dekotaman

Pangsapuri tradisional

Oleh Susunan Hartini Mohd Nawi

Blok pangsapuri di Tehran ini adalah rekaan Keivani Architects yang mempunyai bingkai tingkap bersudut dan kaca berwarna.

Malah pangsapuri tujuh tingkat ini turut menarik apabila ditampilkan dengan seni bina tradisional Iran.

Reka bentuk tingkap bersudut bersebelahan lapisan kayu pada pangsapuri itu biasanya digunakan untuk membantu mengurangkan kemasukan cahaya matahari ke ruang kediaman.

Ia secara langsung membantu mengurangkan bahang panas terutama pada waktu siang.

“Konsep utama pangsapuri ini berasal daripada seni bina tradisional Iran.

“Tingkap khas ini dinamakan orsi yang turut dilengkapi kekisi kayu dan kaca berwarnayang didatangkan bersama fungsi teknikal sangat berkesan.

“Malah kami turut menampilkan tingkap orsi moden dengan fungsi yang pelbagai.

“Bukan hanya mewujudkan ruang dalam ‘semangat’ Iran, malah menghormati keperluan mental dan biologi penghuninya,” kata wakil Keivani Architects.

Dalam menampilkan kelainan, Keivani Architects turut tidak mengabaikan elemen penting termasuk air, tumbuh-tumbuhan dan pencahayaan.

Bahagian yang menghadap jalan pula diperbuat daripada lapisan dua kayu dengan panel kaca berwarna.

Tanaman hiasan pula bukan sekadar berfungsi sebagai elemen hiasan semata-mata, malah membantu mengawal suhu di kawasan sekitar.

Lebih menambahkan keselesaan penghuninya, setiap tingkap dilengkapi tirai penahan atau pelindung cahaya matahari.

Ia boleh diubah sama ada ditolak keluar tingkap atau sekadar menjadi jeriji tingkap.

Sementara itu, bingkai tingkap yang besar itu pula dinamakan travertine.

Bentuknya yang bersudut itu membantu mengurangkan penambahan haba.

Reka bentuk pangsapuri itu juga dikatakan diilhamkan daripada sebuah kediaman bersejarah yang terletak di bandar Kashan.

Di bahagian belakang pangsapuri ini terdapat halaman kecil dihiasi kotak berbingkai pada dinding yang sesuai untuk tanaman hiasan.

Kotak berbingkai kayu itu secara tidak langsung menjadi elemen hiasan halaman yang menarik selain ruang dilengkapi gazebo.

Pada masa sama, halaman berkenaan menyediakan akses terus ke tempat letak kereta bawah tanah yang turut dihiasi jubin diselang-seli rumput hiasan.

Di samping itu, usaha Keivani Architects yang sering mereka bentuk bangunan berasaskan bahan sesuai, kitar semula dan asli antara usaha murni untuk mengekalkan persekitaran sihat.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 1:52am
d