dekotaman

Siling dibiar terbuka

Oleh Faizal Zain

Salam deko buat semua. Sejak beberapa minggu lalu saya menulis berkenaan dekorasi bertemakan industri yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini. Dekorasi yang asalnya sering menjadi pilihan pengusaha kafe, restoran dan pejabat ini akhirnya mula diterjemahkan dalam ruang kediaman. Tidak dinafikan dekorasi atau konsep ini biasanya menampakkan dinding simen dengan struktur batu bata yang dibiarkan kelihatan jelas, tiang yang terbuka dan berselirat, bahkan paip saluran elektrik serta saluran air juga dibiarkan melintang bebas di bahagian siling.

Keadaan itu menyebabkan ada dalam kalangan kita berasakan ruang itu belum selesai kerja pembinaan atau pengubahsuaiannya. Namun itulah hakikatnya dekorasi berkonsepkan industri. Jadi minggu ini saya sambung lagi beberapa aspek yang menjadi penyokong dalam sentuhan berkonsepkan industri ini. Sudah saya bincangkan minggu lepas, elemen seperti permukaan lantai dan dinding, permukaan siling juga memainkan peranan yang penting dalam menzahirkan konsep unik ini.

Dalam sentuhan berkonsepkan industri ini, siling ruang juga dibiarkan terbuka. Selalunya kemasan siling ruang hanya mencapai tahap ‘plaster,’ iaitu peringkat melapisi dinding dengan campuran pasir dan simen. Itu saja! Adakalanya sedikit sentuhan dibentuk supaya siling kelihatan unik, misalnya dengan bentuk lengkungan atau tekstur timbul untuk memberi kesan ‘multidimesional.’

Saluran paip air, elektrik, pemanas dan pendingin udara biasanya dibiarkan terdedah. Tapi jika konsep ini diadaptasikan pada ruang kediaman rumah tidak semua saluran paip air dan elektrik sesuai dibiarkan begitu saja. Jadi sedikit sentuhan tambahan mungkin diperlukan untuk membuatkan ruang kediaman anda kelihatan lebih sempurna dan tidak keterlaluan.

Selain dari lantai, dinding dan siling, warna juga memberikan kesan dalam konsep industri. Beberapa material bangunan biasanya dibiarkan sama seperti asalnya atau dicat dengan warna yang sama supaya kelihatan monokrom. Namun pada bahagian lain seperti perabot atau hiasan, boleh juga dipadankan dengan warna yang cerah.

Nantikan episod terakhir minggu depan untuk sentuhan konsep ini bagi melengkapkan segala aspek-aspek utama yang menjadi penunjang dalam sentuhan dekorasi ini.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 12:01am
d