dekotaman

Taman dalam bangunan

Oleh Susunan Hartini Mohd Nawi

Panoramic Garden CCIS antara rekaan taman dalam bangunan penuh privasi hasil idea firma Sadar Vuga Architects.

Taman unik itu dilihat selari dengan bangunan yang tampil dengan seni bina kontemporari.

Ia pejabat seni bina dalaman Dewan Perniagaan dan Industri di Ljubljana, Slovenia.

Pelbagai elemen landskap hijau ditempatkan untuk membentuk sebuah taman dalam bangunan yang sesuai dengan pelbagai lapisan usia.

Tanaman tropika yang rimbun turut diketengahkan dan berada dalam suasana mendamaikan itu turut memberi peluang kepada anda mencuri pandang persekitaran di pusat bandar.

Dihiasi pula dengan pelbagai pepohon hijau yang ditanam di dalam pasu atau tumbuh menjalar pada dinding.

Binaan melengkung berwarna putih yang dipanggil ‘reben’ menambahkan seni dekoratif.

Bertambah menarik pada bahagian mendatar ‘riben’ itu ditempatkan pelbagai tanaman hijau.

Sementara bahagian menurun atau curam juga menyajikan pandangan luar biasa apabila pelbagai jenis tanaman menjalar meliputinya.

Kombinasi warna putih dan hijau dengan pencahayaan terang sera samar itu membawa satu gambaran panorama unik.

Ruang pada taman itu turut berperanan untuk pelbagai pengisian termasuk majlis keramaian, mesyuarat, penyampaian anugerah dan jamuan ringkas dengan sentuhan berbeza.

Sudah pasti situasinya mengujakan buat tetamu apabila berada dalam latar semula jadi.

Kepingan kaca pula membentuk ‘kekisi’ angin turut membenarkan pengaliran udara dan cahaya semula jadi.

Elemen itu kelihatan unik apabila memantulkan bayang dan cahaya lampu terutama waktu malam.

Pada masa sama struktur binaan berbentuk empat segi dan bersilang dengan lapisan kaca pada siling Panoramic Garden CCIS itu turut menarik jika dilihat dari udara atau bangunan lain yang lebih tinggi.

Tidak hanya mempunyai taman yang unik, malah pejabat berkenaan turut menawarkan reka bentuk ruang dalaman yang eksklusif.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 12:02am
d