dekotaman

Ibarat pusat perlindungan taman

Oleh Hartini Mohd Nawi

Saujana indah landskap dengan panorama hijau, warna daun dan bunga-bungaan bagaikan mercu tanda terhebat yang menjadi tarikan sepanjang masa tidak kira siang atau malam.

Idea menzahirkan landskap santuari juga mampu membuatkan persekitaran kekal indah ibarat pusat perlindungan taman.

Pelengkapnya adalah pokok renek dan pohon pagaran yang mempunyai peranan tersendiri menzahirkan suasana semula jadi serta sedap mata memandang.

Selalunya ia kurang daripada 0.5 hingga 0.6 meter tinggi mengikut jenis setiap spesies dan cara cantasan dijalankan.

Pada kebiasaannya, pokok renek berbunga paling digemari kerana bunganya bukan saja mempunyai warna yang menarik malah bentuknya juga pelbagai.

Tidak ketinggalan pokok renek yang mempunyai daun beraneka warna boleh memberikan kesan sama seperti pokok renek berbunga.

Sementara pokok renek berdaun hijau pula biasanya digunakan dalam landskap sebagai tanaman asas kerana warna utamanya yang ‘penuh’.

Ini dapat dilihat dalam landskap yang menggunakan pokok renek berdaun hijau sebagai tanaman sempadan mengelilingi tanaman gabungan untuk kesempurnaan.

Selain pokok renek, pokok pagaran juga antara yang menambahkan aura ketenangan di taman.

Digunakan sebagai penanda persempadanan atau tepian kawasan, pagaran antara elemen landskap yang membentuk ‘mood’ sesuatu kawasan lebih privasi.

Landskap Eco Santuary

Pencinta landskap dan keindahan alam semula jadi juga pasti teruja sebaik berada dalam suasana yang sarat dengan terapi ini.

Nyata, seribu satu cerita landskap sebaik memperkatakan keunikan Eco Santuary yang terletak di Telok Panglima Garang, Selangor ini.

Dari jauh, sudah kelihatan latar indah landskap santuari yang berkonsepkan moden kontemporari itu membuatkan lokasi pembangunan perumahan eksklusif membabitkan kediaman dan komersial itu benar-benar menarik.

Cuaca baik sepanjang temu bual, memudahkan keindahan landskap santuari itu dirakam jurugambar.

Menurut Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Landskap EcoWorld (Group Landscape EcoWorld) Md Suhilmi Ismail sebelum bermulanya proses pembangunan, kajian teliti dilakukan supaya pokok asal di kawasan itu terus dikekalkan.

“Dari segi latar landskap dalam konsep moden kontemporari ini, beberapa peringkat pembangunan landskap dilalui.

“Tiada lain kecuali 95 peratus objektif untuk menampilkan suasana semula jadi dengan mengekalkan tanaman atau pokok asal di sini.

“Kajian menyeluruh dilakukan dengan pelbagai proses dilalui termasuk analisis tapak, inventori, memindahkan pokok asal menggunakan kaedah ‘Big Jon’ selain mendapat kerjasama dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),” katanya ketika ditemui di Eco Santuary itu, Isnin lalu.

Beliau turut ditemani dua Pengurus Kanan Landskap, Kumpulan Landskap EcoWorld (Group Landscape EcoWorld) Amir Sharifuddin Samsuddin dan Mohd Feyriyss Md Mohtar.

Md Suhilmi berkata tidak hanya mengekalkan tanaman asal, malah landskap santuari dalam konsep moden kontemporari itu juga dirancang rapi reka letaknya.

“Laluan pejalan kaki dan tamannya diserikan dengan pelbagai jenis pokok renek dan pagaran.

“Pokok kemuning (Murraya paniculata), ‘Tsaang-Gubat’ (Carmona retusa), Duranta (Duranta erecta ‘Gold’), Loropetalum (Loropetalum chinense var rubrum), Indian Laurel Fig (ficus nitida ‘Gold’), kelat paya (Eugenia oleina) Mexican Blue Bells (Ruellia brittoniana) dan Viriegated Justicia (Jusiticia gendarussa ‘Varieagata’ antara yang dijadikan tanaman pagaran,” katanya.

Menariknya, tanaman itu menyerikan segenap penjuru ruang dari taman hingga kawasan kediaman dengan teknik serta bentuk pangkasan unik.

Ditambah dengan konsep keseluruhan pembangunan perbandaran bertemakan ‘A Modern Day Sanctuary’ Eco Santuary berada pada kelas tersendiri.

Apatah lagi dilengkapi dengan tujuh ‘parcel’ termasuk pembangunan kediaman di atas tanah, kondominium, apartmen, komersial dan pelbagai kemudahan lain.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 12:02am
d