dekotaman

Replika kotak kasut gergasi

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Memiliki kepakaran dalam bidang seni dan fesyen mendorong anak tempatan ini meneroka laluan baru serta inovatif dalam bidang perniagaan.

Ingin tampil kreatif dan berbeza, Coisa Art menghasilkan replika kotak kasut gergasi yang berfungsi sebagai kotak penyimpanan.

Menariknya, rekaan yang memukau itu adalah replika kotak kasut sebenar bagi mengikut cita rasa dan minat pemilik kasut berjenama.

Menurut Pengarah Pemasarannya Muhammad Fadzline Jahar, 32, kebanyakan pengunjung membuat tempahan kotak kasut gergasi mengikut spesifikasi kotak kasut saiz asal.

“Rata-rata penggemar kotak kasut gergasi ini adalah pengumpul atau peminat kasut berjenama jadi, kami ketengahkan rekaan seperti reka bentuk kotak kasut sebenar.

“Memiliki kotak kasut gergasi sebagai tempat penyimpanan khusus bukan saja memberi melindungi kasut mereka tapi dalam masa sama memberi nilai sentimental,” katanya.

Kemasan yang halus dengan material berkualiti juga menjadikan kotak kasut gergasi sering diselitkan dalam dekorasi ruang kediaman mahupun pejabat.

Pengarah Operasi Coisa Art, Mafuz Khan Mer Amanullah Khan, 36, berkata, material utama yang digunakan bagi menghasilkan kotak kasut gergasi adalah blok papan (block board) iaitu bahan sinonim dengan pembuatan kabinet dapur.

“Bahan yang digunakan lebih sesuai untuk kegunaan dalam rumah, tapi dari segi ketahanan ia semestinya tahan lasak dan cara penjagaan sama seperti kabinet dapur.

“Pemilik kotak kasut gergasi bukan saja menjadikan ia sebagai ruang penyimpanan, tapi turut jadikan ia sebagai elemen hiasan dalam kediaman mereka.

“Produk tempahan khas ini juga memboleh pelanggan menzahirkan idea masing-masing. Kami pernah menerima tempahan kotak kasut mengikut rekaan beg tangan berjenama dan watak kartun kegemaran seperti Hello Kitty,” katanya.

Katanya, pelbagai jenis material bagi kemasan akhir turut diketengahkan bagi memberi kelainan.

“Kotak kasut gergasi yang asas kebiasaannya mempunyai kemasakan pelekat (sticker) pada bahagian luar.

“Namun, bagi menyuntik kelainan kami turut tawarkan kemasan luaran dengan kesan timbul menggunakan material perspek.

“Bagi kemasan dalaman, kami tawarkan material seperti karpet, kulit dan PVC sesuai yang lebih sesuai sekiranya kotak kasut itu dijadikan sebagai kotak pameran,” katanya.

Hasil penerimaan dan maklum balas positif daripada pengeluaran kotak kasut gergasi, Coisa Art turut aktif mencipta produk baru bagi memberi pilihan kepada pengunjung yang inginkan sesuatu yang berbeza.

“Kami turut hasilkan meja kopi dwifungsi yang mempunyai ruang penyimpanan rahsia bagi memberi alternatif kepada pengunjung sekiranya menginginkan kelengkapan menarik dalam ruang kediaman mereka.

“Kami turut hasilkan ‘bench box’ menawarkan dua fungsi sebagai tempat duduk dan kotak penyimpanan kasut yang juga mudah dialih ke mana-mana,” katanya.

Menurut Fadzline, Coisa Art juga dalam perancangan untuk menghasilkan katil tidur untuk bayi menggunakan material dan konsep yang sama serta bakal diperkenalkan pada hujung tahun ini.

Kunjungi Coisa Art yang terletak di No 17, Jalan PCR 3, Kawasan Perniagaan Cheras Raya, Batu 11 Balakong, Selangor atau layari Facebook The Coisa Art untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 6:53am
d