dekotaman

Mercu tanda Taman Rimba

Oleh Hartini Mohd Nawi

Bakal muncul antara taman bertaraf antarabangsa setanding negara luar, Taman Tugu di tengah bandar raya Kuala Lumpur ini pastinya bakal menarik perhatian ramai.

Projek Taman Tugu pula antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) diketuai Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) dan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM).

Lebih membanggakan projek berkenaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Secara keseluruhannya taman hutan bandar seluas 27 hektar itu memberi fokus kepada pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah warisan alam.

Kawasan di sekitar Tugu Negara seperti Taman Botani Perdana hingga KL Sentral akan dihubungkan dengan laluan pejalan kaki yang dihiasi pelbagai jenis flora dan fauna.

Selain kewujudan Khazanah ILMU yang membabitkan pembangunan pusat pembelajaran dan inovasi.

Pertandingan Rekabentuk Bangku dan Gazebo Taman 2017

Menerusi Taman Tugu Greenovation Design Competition 2017 turut diadakan Pertandingan Rekabentuk Bangku dan Gazebo Taman 2017.

Ia membabitkan kolaborasi antara Khazanah Nasional Berhad dengan ILAM.

Menurut Presiden ILAM, Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, orang ramai sama ada berkumpulan atau individu dialu-alukan menyertai pertandingan itu.

“Anda berpeluang merancang rekaan bangku dan gazebo inovatif untuk ditempatkan di Taman Tugu.

“Oleh itu rebut peluang keemasan ini dan ketengahkan bakat dan kreativiti anda,” katanya di Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Dr Osman berkata tarikh tutup penyertaan pada 16 Oktober ini.

Keterangan lanjut layari portal pertandingan: www.ilamalaysia.org/greenovation

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 6:55am
d