dekotaman

Penuhi keperluan penduduk kian meningkat

Oleh Hartini Mohd Nawi

Dalam memperjuangkan pembangunan landskap yang memanfaatkan interaksi pengguna dan alam, kaedah perkongsian pengalaman, inspirasi pemikiran kritikal, paparan perspektif baru, dialog progresif serta penubuhan rangkaian platform dilihat sebagai elemen penting.

Keutamaan itulah yang membuatkan SPARK (Space & Park) menerusi Dialog Seni Bina Landskap Antarabangsa (ILAD) 2017 menjadi tumpuan penggiat bidang berkenaan untuk sama-sama bergabung idea dan kepakaran dalam serta luar negara.

Dianjurkan Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), SPARK 2017 itu bertemakan ‘Creating Spaces Connecting People’ dan diadakan sempena Bulan Reka Bentuk Kuala Lumpur (KUL Design 2017), baru-baru ini.

Bertempat di Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Centre Bangsar, Jalan Tanduk, Kuala Lumpur ia mendapat kerjasama Platinum Pr dan My Performing Arts Agency serta sokongan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selain KUL Design Month 2017, PAM, Art Printing Works (APW), Uppercase, Plant Catridge, Sekeping.com, YMWOO Corporation, Playpoint, Akzo Nobel Paint (DULUX Malaysia) dan Origami Academy.

Lebih bermakna Duta Besar Belanda ke Malaysia H E Karin Mossenlechner diberi penghormatan memulakan perkongsian idea atau pengalaman bagaimana Amsterdam menjadi antara bandar di dunia yang paling mesra pejalan kaki dan basikal.

SPARK 2017 itu menjadi pentas untuk mempamerkan dan berkongsi beberapa penyelesaian reka bentuk terkini dalam industri seni bina landskap dan pada masa yang sama menyerlahkan kerjasama antara pelbagai badan profesional di tempatan serta luar negara.

Selama dua hari, pelbagai pengisian program diketengahkan dilihat menjadi medan terbaik buat penggiat bidang landskap berkongsi pengalaman, idea, menimba pengetahuan dan menjalin hubungan erat dalam pembangunan landskap lebih sempurna.

Sekali gus SPARK 2017 antara platform menghimpunkan peneraju utama dalam pembangunan persekitaran seperti arkitek landskap, arkitek, pereka, jurutera, perancang, pencinta alam sekitar, pemaju, pembuat dasar dan peneraju pasaran tempatan serta antarabangsa.

Menurut Presiden ILAM Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, apabila berlaku peningkatan densiti di bandar negara maju dan membangun, projek berskala besar dilihat bagaikan cendawan tumbuh dalam usaha memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.

“Ia merangkumi perumahan, pengangkutan, sosial, ruang hijau, penciptaan pekerjaan.

“Trend reka bentuk landskap pula berkembang dari semasa ke semasa dalam melengkapkan keperluan manusia, teknologi dan gaya.

“Malah SPARK bermatlamat menjadi platform utama di rantau ini untuk golongan profesional bidang berkaitan untuk menyatukan dan bertukar idea inovatif bagi menangani kemajuan yang semain pesat,” katanya.

Pengisian petang hari pertama turut diisi dengan aktiviti Hipster/Urban Walk yang membabit penerokaan landskap dan ruang unik di sekitar Bangsar.

Membabitkan APW Bangsar, Plant Cartridge, Uppercase APW, Sekeping Tenggiri dan PAM Centre Bangsar.

Menerusi sesi ‘briefing’ petang hari kedua SPARK 2017, Dr Osman membentangkan Agenda Seni Bina Landskap 2050 (LAA 2050) iaitu agenda 30 tahun terdiri daripada visi ILAM dan 10 fokus strategik yang digariskan.

“Landskap sebagai asas untuk kehidupan kesejahteraan dan inspirasi, melalui teknologi inovatif serta nilai yang mampan.

“Jadi rangka kerja inisiatif ini dalam proses pembangunan hingga 2020, apabila ia akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2050,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 7:35am
d