dekotaman

Asalnya tapak baiki kapal

Oleh Susunan Hartini Mohd Nawi

Dibina di atas tapak membaiki kapal, Zhongshan Shipyard Park, China ini mempunyai perincian landskap yang tersendiri.

Firma Turenscape Landscape Architecture, Beijing cuba sedaya upaya mencipta keindahan semula jadi di kawasan itu selain berfungsi kepada masyarakat sekitar.

Ia sekali gus selari dengan pengubahsuaian bandar di kawasan berkenaan.

Sekitar 1950-an, ia tempat membaiki kapal namun bankrap pada 1999.

Kewujudan Zhongshan Shipyard Park dilihat sebagai salah satu usaha memperingati sejarah awal kawasan itu.

Namun perancangan tidak semudah pelaksanaan apabila berdepan cabaran yang memerlukan ketelitian dan kebijaksanaan pihak terbabit.

Antaranya penyediaan tapak tadahan termasuk tasik sedia ada yang mempunyai paras air berubah-ubah, bangkai kapal, kren, landasan, menara air dan jentera lain.

Tasik sedia ada itu dihubungkan melalui Sungai Qijiang ke laut dan paras airnya sentiasa berubah-ubah hingga 1.1 meter (m) setiap hari.

Bagi mengatasi cabaran itu, rangkaian jambatan dibina di pelbagai ketinggian dan diintegrasikan dengan penanaman bertingkat supaya suasana semula jadi dapat dinikmati sepenuhnya oleh pengguna tanpa halangan.

Usaha mengimbangi keadaan sungai, kawalan banjir dan melindungi pokok ficus sedia ada di sepanjang tebing sungai turut dilakukan.

Peraturan Biro Pengurusan Air menetapkan perlunya ada koridor sungai di sebelah timur tapak yang diperluaskan antara 60m hingga 80m untuk menguruskan aliran air.

Saluran sungai perlu diluaskan dan Turenscape Landscape Architecture menggunakan pendekatan dengan menggali parit selari dengan ketinggian 20m bagi memulihara tumbuhan di kawasan berkenaan.

Begitu juga dengan tinggalan mesin lama, keluli atau objek kekal yang sukar dialihkan kemudian ditampilkan dengan pendekatan tersendiri.

Ia membabitkan pemeliharaan, pengubahsuaian bentuk lama dan penciptaan bentuk baru serta penyusunan semula ciri tapak dengan langkah lebih artistik.

Sementara itu, reka bentuk taman pula merangkumi beberapa aspek tertentu. Ia bermula dengan perincian reka bentuk tapak menerusi pemeliharaan tumbuhan di sepanjang tasik, perlindungan ke atas pokok bayan sedia ada di sepanjang tepi sungai, penggunaan semula rel, menara air dihias menarik dan penempatan, manakala mesin usang diberi ‘kehidupan kedua’ supaya boleh berfungsi kembali.

Pada masa sama fungsi taman turut dipertingkatkan. Ini terbukti menerusi rangkaian laluan yang menghubungkan lokasi atau keluar masuk terancang.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 11:31am
d