dekotaman

Didik anak rajin mengemas

Oleh Faizal Zain

Salam deko kepada semua, bertemu lagi kita dalam ruangan Inspirasi Deko. Mungkin minggu ini ada yang sedang membaca artikel saya ini di lokasi percutian masing-masing ataupun nun di kampung halaman. Jadi sepanjang musim cuti sekolah ini bukan saja masa sesuai untuk bercuti bersama keluarga, malah boleh dijadikan waktu untuk sama-sama berganding bahu mengemas dan membersihkan kediaman. Mungkin sebelum ini ibu bapa sibuk keluar bekerja sementara anak pula padat dengan jadual persekolahan hingga kekurangan masa untuk mengemas.

Sepanjang tiga minggu ini saya akan berkongsi tip mudah menguruskan penyelenggaraan rumah yang cukup praktikal. Ia boleh dilakukan bersama ahli keluarga dan ini waktunya untuk mendidik anak supaya lebih rajin mengemas dalam mewujudkan persekitaran yang segar serta bersih.

Asingkan barang yang tidak diperlukan

Buka semua almari pakaian anda dan anak, lihat berapa banyak pakaian yang tidak muat dipakai dan berapa banyak pula sudah dipakai ? Ramai dalam kalangan kita hanya menggunakan 50 peratus pakaian yang disimpan di dalam almari sedangkan sebahagian lagi hanya memenuhi almari tanpa digunakan.

Keperluan seperti topi, beg tangan, aksesori dan pakaian yang tidak digunakan lagi perlu diasingkan atau dikeluarkan dari almari anda.

Langkah ini dapat mengurangkan penggunaan ruang dan menyimpan barang atau pakaian diperlukan saja.

Basuh baju awal pagi

Ramai dalam kalangan kita membasuh baju tidak tetap pada waktunya. Tahukah anda waktu yang paling sesuai membasuh baju adalah pada awal pagi? Ia tentunya lebih menjimatkan masa, tenaga dan memudahkan semua urusan. Baju yang dibasuh pada awal pagi sebenarnya dapat dikeringkan dan dilipat pada hari yang sama. Mudah bukan?

Banyak lagi yang ingin saya kongsikan berkenaan panduan mengemas rumah. Pastikan anda terus bersama saya pada minggu depan di ruangan ini.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 10:35am
d