dekotaman

Jimatkan masa, tenaga pekerja

Oleh Hartini Mohd Nawi

Penerapan Sistem Binaan Berindustri (IBS) pada projek Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Serdang, Selangor ini begitu menarik perhatian.

Agensi pelaksanaannya ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan HPUPM itu mula dibina Oktober 2014 serta dijangka siap September 2018.

Pihak JKR sudah mengenal pasti semua jenis binaan yang menggunakan sistem struktur berkerangka atau sistem panel dinding tanggung beban adalah sesuai untuk dilaksanakan secara IBS.

Menurut Arkitek Penguasa Kanan JKR Azman Md Hashim, IBS adalah kaedah pembinaan yang komponennya dihasilkan dalam keadaan terkawal (di kilang atau di tapak bina), diangkut dan dipasang dalam kerja pembinaan menggunakan pekerja minimum di tapak.

“Dari sudut klasifikasi struktur, IBS boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan utama.

“Pertama sistem kerangka, panel dan kekotak konkrit pratuang.

“Komponen di bawah kumpulan ini ialah tiang, rasuk, papak lantai dan panel dinding pratuang.

“Selain komponen pasang siap tiga dimensi seperti tangga, langkan dan tandas,” katanya.

Azman berkata sistem acuan juga termasuk dalam kumpulan utama.

Acuan bagi komponen konkrit tuang di situ seperti acuan untuk tiang, rasuk, papak lantai dan panel dinding yang boleh digunakan berulang kali.

Malah Acuan ini biasanya diperbuat daripada plastik, gentian kaca, keluli, aluminium dan bahan logam lain.

“Bagi sistem kerangka keluli, komponen di bawah kumpulan ini ialah tiang, rasuk, papak lantai, sistem kekuda bumbung pasang siap dan seumpamanya yang diperbuat daripada kayu.

“Sementara sistem blok pula merujuk kepada penggunaan blok jitu termasuk blok konkrit ringan, blok bercantum dan seumpamanya.

“Begitu juga dengan sistem terbuka yang bermaksud sistem pembinaan bangunan atau komponen bangunan secara IBS yang tidak terhad kepada pemunya atau ‘proprietor’ tertentu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Turut tersenarai dalam kumpulan utama adalah reka bentuk standard yang bermaksud bentuk atau rupa bentuk lazim komponen ditentukan berdasarkan saiz dan ukuran.

Azman berkata, hingga 15 September lalu kemajuan fizikal projek HPUPM itu adalah 52 peratus berbanding jadual asal 40 peratus.

“Ini antara kelebihan penerapan IBS yang dilihat mempunyai pelbagai keistimewaan termasuk menjimatkan masa dan tenaga pekerja.

“Penerapan IBS di projek HPUPM ini membabitkan blok hospital, psikiatri, jabatan jururawat dan bilik mayat,” katanya.

Hospital Tertieri berkapasiti 400 katil itu dibina bersebelahan Hospital Serdang.

“Lebih membanggakan HPUPM turut memfokuskan kepada kepakaran dalam tujuh bidang utama.

“Membabitkan zoonotiks, gerantologi, kanser, penjagaan strok, kesihatan lelaki, penyakit kulit dan immunologi, kecederaan sukan dan pembedahan artroskopi.

“Apatah lagi HPUPM bakal menawarkan perkhidmatan perubatan yang belum ada di Hospital Serdang.

“Jadi, dengan langkah itu, perkhidmatan kesihatan dan perubatan di kawasan Serdang akan lebih lengkap,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 3:49am
d