dekotaman

Binaan ilusi 3 dimensi

Oleh Susunan Aniza Zainudin

Pembukaan secara rasmi Perpustakaan Tianjin Binhai (Tianjin Binhai Library) di daerah kebudayaan di timur laut China pada 1 Oktober lalu, menzahirkan fantasi si ulat buku berkenaan seni bina futuristik gedung ilmu.

Seni bina luar biasa itu menarik kehadiran pengunjung secara puratanya 15,000 orang pada hujung minggu sejak ia dibuka kepada awam.

Bangunan futuristik hebat dihasilkan firma seni bina dari Belanda, MVRDV dengan kerjasama Institut Perancangan Bandar dan Reka Bentuk Tianjin (TUPDI) itu mengambil masa selama tiga tahun untuk disempurnakan.

Ia menarik perhatian dunia apabila pandangan luar infrastruktur yang memiliki keluasan 33,700 kaki persegi itu memberikan ilusi tiga dimensi menyerupai mata manusia.

Ilusi mata tiga dimensi pula terhasil daripada sentuhan binaan dalaman berona putih, ditambah dengan alunan teres rak buku dan sebuah sfera bercahaya yang diletakkan di pusat auditorium berkenaan.

Berbanding susunan buku tipikal, keunikan Perpustakaan Tianjin Binhai itu merangkumi ciri seni bina dalaman yang menjadikan teres almari buku bergelombang pada keseluruhan dinding.

Barisan teres rak buku bermula dari lantai hingga bahagian siling mencipta ilusi pusaran menarik, malah ia turut berfungsi tangga mahupun tempat duduk.

Menempatkan lebih 1.2 juta buku, seni bina lima tingkat itu turut memuatkan plat aluminium sebagai buku ‘tiruan’ bagi mengisi kekosongan rak buku terutama di bahagian dinding atas dan siling.

Idea ini mengundang kritikan ramai yang mengatakan ruangan berkenaan jauh lebih fiksyen berbanding buku berceritera fiksyen.

Selain menjadikan gelombang teres melengkung itu sebagai rak buku, bangunan berkenaan turut memiliki ruang bacaan berbeza yang turut menempatkan koleksi buku perpustakaan.

Pengasas MVRDV, Winy Maas berkata, sudut dan lengkung di bahagian ruang berjalan dan rak buku bertujuan memaksimumkan penggunaan ruang yang berbeza seperti membaca, bertemu mahupun berbincang.

Perpustakaan Tianjin Binhai itu turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti pendidikan untuk kegunaan awam termasuk khidmat penyimpanan buku dan arkib.

Dari tingkat bawah, pengunjung boleh mengakses dengan mudah ke ruang bacaan kanak-kanak, warga tua, auditorium dan kompleks kebudayaan menerusi pintu masuk utama.

Tingkat pertama dan kedua pula turut menyediakan bilik bacaan, buku dan ruang istirahat.

Sementara tingkat atas pula menempatkan bilik mesyuarat, pejabat, bilik komputer dan audio serta pelantar ke bumbung.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 9:59am
d