dekotaman

7 tahun bina rumah lego

Oleh Nurul Husna Mahmud

Rumah Lego terletak di Billund, Denmark iaitu tempat kelahiran jenama permainan blok tersohor itu antara tarikan terbaru kepada peminat seni bina mahupun permainan lego itu sendiri.

Bangunan berkeluasan 12,000 meter persegi itu menampilkan rekaan seperti 21 blok lego yang saling bertindih yang memerlukan tempoh tujuh tahun untuk disiapkan dan dibina Bjarke Ingels Group.

Jika dilihat pada bahagian luar, rekaan blok itu daripada pandangan sisi tepi menampilkan warna yang kosong, namun pemandangan dari atas bangunan pula berbeza kerana tampak meriah dengan pelbagai warna.

Rumah Lego ini bertambah menarik apabila pengunjung perlu masuk ke dalam bangunan yang mempunyai dua ruang pameran, tiga restoran, empat bilik permainan dalam kod warna tertentu bersama 25 juta blok permainan lego itu.

Selaku ikon permainan blok tersohor kanak-kanak, empat ruang permainan ditawarkan iaitu merah, hijau, kuning dan biru mewakili aspek penting perkembangan kanak-kanak menerusi konsep belajar dan bermain iaitu elemen kreatif, emosi, kemahiran sosial serta kognitif.

Turut ditawarkan juga dua ruang permainan tambahan iaitu di bahagian luar untuk aktiviti fizikal dan kecergasan.

Sementara itu tiga restoran ditampilkan dalam rumah berkenaan turut mempunyai identiti tersendiri iaitu Brickaccino menarik dengan dekorasi seperti kafe kopi selain perincian karakter dan tulisan seperti dalam The Lego Movie.

Begitu juga dengan rekaan restoran kedua yang memperlihatkan konsep restoran keluarga. Ia menampilkan konsep interaktif permainan itu apabila pengunjung boleh membina menu sendiri menerusi empat blok lego dimasukkan pada skrin khas di atas meja.

Pada masa sama, ‘mood’ futuristik yang diketengahkan juga melengkapi rekaan bangunan itu apatah lagi dengan kehadiran robot pelayan untuk menghantar kotak makanan tengah hari anda.

Bagi anda yang ingin menikmati pengalaman sajian di restoran mewah, bolehlah menjengah ke Le Gourmet yang menawarkan layanan seperti restoran kelas atasan Perancis.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 7:56am
d