dekotaman

Rumah pokok unik

Oleh Susunan Aniza Zainudin

Dalam teknologi moden khususnya menerusi seni bina bangunan pencakar langit dan berkonsep industri, masih ada kelompok yang memperjuangkan identiti fasiliti berasaskan semula jadi.

Terjemahan ini terungkap dengan wujudnya pelbagai bangunan mesra alam.

Malah lebih agresif apabila berupaya mengembalikan nostalgia kanak-kanak melalui seni bina berasaskan rumah pokok.

Di bawah, tersenarai lima rumah pokok popular dunia dengan keunikan seni bina dan fungsi tersendiri.

1. Plane Treehouse (Costa Rica)

Pengakhiran pesawat 1965 Boeing 727 menjadi satu permulaan baru apabila ia dijadikan ‘ramuan’ utama pembinaan hotel suite eksklusif dunia, Hotel Costa Verde.

Terletak pada ketinggian 15.2 meter di atas pokok, jet penumpang ini menyediakan dua bilik tidur berhawa dingin yang mewah sambil dihidangkan dengan kebiruan Lautan Pasifik dan kehijauan hutan Taman Negara Manuel Antonio di sekelilingnya.

Hotel eksotik ini juga turut disempurnakan dengan panel dalaman menggunakan kayu jati Costa Rica bersama susunan perabot ukiran tangan.

2. Yellow Treehouse Restaurant (Auckland, New Zealand)

Restoran berkonsepkan rumah pokok ini menjanjikan pengalaman unik menikmati hidangan makan malam selain membawa pengunjung ke alam fantasi.

Memberi ilusi seperti dibaluti pada pokok, restoran yang memuatkan 18 pelanggan pada satu masa ini turut memperkenalkan konsep terbuka apabila dindingnya disusun jarang, sekali gus mempermudahkan aliran udara keluar masuk.

Berinspirasikan alam semula jadi, reka bentuk Yellow Treehouse Restaurant ini dikatakan menyerupai kepompong rama-rama atau bawang. Pada waktu malam, ia kelihatan seperti tanglung yang bersinar.

3. Minister’s Treehouse (Crossville, Tennessee, Amerika Syarikat)

Dikatakan rumah pokok terbesar dunia, Minister’s Treehouse ini dimiliki menteri tempatan, Horace Burgess dan dibina sejak 1993.

Memiliki ketinggian 27.4 meter, rumah pokok yang kini ditutup kepada kunjungan umum ini mempunyai lima tingkat dan dilengkapi kira-kira 80 bilik.

4. Mirrorcube Tree House (Sweden)

Memiliki dimensi 4 X 4 X 4, Mirrorcube diibaratkan tempat persembunyian terbaik apabila dindingnya diperbuat daripada cermin reflektif yang memantulkan keadaan sekeliling, sekali gus mengelirukan pandangan.

Dibina berasaskan bingkai aluminium di sekeliling, batang pokok, bahagian dalamannya diperbuat daripada kayu lapis ‘birch’ dan dilengkapi enam tingkap bagi menyaksikan panorama indah.

5. Three Story Treehouse (British Columbia, Kanada)

The Enchanted Forest adalah projek persaraan dimulakan Ernest dan Doris Needham sekitar 1950-an membabitkan keluasan 16.1 hektar tanah.

Dibuka kepada umum pada 1960, hutan ini menjadi lokasi magis yang menempatkan lebih 300 patung cerita rakyat.

Paling popular, pastinya Three Story Treehouse yang dikatakan rumah pokok tertinggi di British Columbia dengan ketinggian 14.3 meter dan mempunyai tiga tingkat diperbuat daripada kayu.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 7:40am
d