dekotaman

Bahan buangan penyeri dapur

Oleh Aniza Zainudin

Dalam sajian makanan buat tersayang, pastinya air tangan menjadi faktor utama menentukan kelazatan dan keenakan menu yang terhidang.

Ruang dapur sering kali dikategorikan sebagai sudut privasi dan istimewa buat kaum hawa terutama si isteri atau ibu dalam menjalankan tanggungjawab sebagai cef profesional di mata suami serta anak.

Justeru, seorang wanita memerlukan ruang dapur yang selesa, sekali gus memancing ‘mood’ untuk memasak.

Mengunjungi kediaman Suzana Abu Sari di Sungai Buloh, Selangor, penulis dapat merasakan aura positif dan ceria sebaik memasuki ruang dapurnya yang diserikan dengan hiasan dekorasi kesenian rakyat.

Menggunakan bahan kitar semula yang rata-ratanya adalah peralatan di dapur sebagai medium utama, motif pilihan wanita berusia 43 tahun ini dilihat bersesuaian dengan sudut kegemarannya.

Gabungan variasi motif seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan, cef, peralatan memasak dan terselit flora pada permukaan barang kitar semula berjaya menyerlahkan kemeriahan dapur itu.

“Saya sememangnya meminati karya seni rakyat kerana ia nampak ‘hidup,’ cantik dan unik berbanding teknik ‘decoupage’ (seni menghiasi objek dengan melekatkan potongan kertas berwarna ke dalamnya menerusi kombinasi kesan cat khas, daun emas dan unsur hiasan lain).

“Hiasan seni rakyat dihasilkan menggunakan cat akrilik dan disempurnakan dengan sapuan varnis, sekali gus membuatkannya menarik serta eksklusif.

“Malah proses penjagaannya juga mudah, sekadar rendaman bersama air sabun sebelum dikeringkan.

“Selain itu, barangan kesenian rakyat juga juga tahan lama jika dibandingkan dengan hiasan ‘decoupage,” katanya.

Berbanding membeli hiasan seni rakyat di gedung dekorasi, Suzana juga lebih senang bekerjasama dengan pelukis kesenian rakyat yang dikenali dan diakui hasil tangan yang kemas serta cantik.

Katanya, keindahan karya kesenian rakyat bergantung kepada kreativiti dan kepakaran pelukis dalam menzahirkan idea diingini.

Meminati seni reka dalaman, wanita ini sering menelaah akhbar, majalah dan menyaksikan program berkaitan lapangan berkenaan.

Justeru, ia mencetuskan banyak idea baru kepadanya untuk memperindahkan lagi ruang dapur menggunakan konsep kesenian rakyat.

Berbanding menyerahkan tugasan sepenuhnya kepada pelukis kesenian rakyat, Suzana lebih mengerti kemahuan sendiri apabila turut berkongsi idea dalam penghasilan hiasan diinginkan.

Malah bertindak lebih praktikal dengan menyerahkan draf lukisan sebagai rujukan kepada pelukis.

“Kebanyakan medium digunakan bagi karya kesenian rakyat ini adalah barangan kitar semula. Selalunya saya akan menyerahkan barang kitar semula ini kepada pelukis untuk dijadikan hiasan kesenian rakyat bersama idea.

“Oleh kerana kediaman berkonsepkan ala Inggeris, saya turut menyelitkan elemen bunga-bungaan seperti mawar dan pemandangan desa.

“Inisiatif memanfaat­kan semula barangan terbuang bukan saja dapat menyelamatkan alam sekitar, bahkan ia mencerminkan sisi eksklusif dekorasi di dapur.

“Antara barang kitar semula yang dijadikan hiasan kesenian rakyat, termasuk kuali, dulang, sagat, senduk, sudip, bekas tisu, cerek, periuk, periuk kukus, botol plastik, dapur minyak tanah dan banyak lagi,” katanya.

Bagi Suzana, kombinasi pelbagai hiasan seni rakyat di ruang dapur memberi suntikan semangat buatnya setiap kali menyediakan makanan buat keluarga.

Meskipun tampak padat, wanita ini bijak dalam menyusun atur dan menentukan sesebuah hiasan seni rakyat diletakkan.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 10:47am
d