dekotaman

Gilap pereka masa depan

Oleh Nurul Husna Mahmud

Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) anjuran pembekal penyelesaian menyeluruh cat terkemuka Nippon Paint Malaysia Group (Nippon Paint) terus agresif mengorak langkah memartabatkan bakat pereka muda dari seluruh Asia menerusi jalinan kerjasama dengan pusat akademik berprestij dunia Harvard Graduate School of Design Amerika Syarikat.

Berita baik itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NIPSEA Wee Siew Kim di depan lebih 500 tetamu Persidangan Pereka Muda Asia Prestij 2017/18 di Universiti Taylor Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Wee, ini bukan saja memberi makna besar kepada AYDA yang sudah masuk edisi ke-10 penganjurannya dengan pembabitan lebih 10,000 pereka muda dan pelajar berbakat dari seluruh Asia sejak 2008.

“Kami sentiasa menghargai inovasi, pengalaman dan kesanggupan untuk mencabar potensi diri yang menjadi nadi kepada Anugerah Pereka Muda Asia. Bagi kami, tema ‘You for Tomorrow’ melambangkan masa depan bidang seni bina dan reka bentuk dalaman. Kami berbangga dapat menyatukan bakat muda dan kepakaran dari serantau Asia dalam gagasan setia kawan dan memberi peluang untuk saling mempelajari antara satu sama lain dalam industri yang dinamik ini.

“Satu lagi pencapaian terbaik selain mendapat pengiktirafan antara anugerah berprestij Asia, kami juga mencerna bakat ini untuk teras berkembang ke peringkat dunia. Malah, ini boleh dikatakan pencapaian 10 tahun terbaik apabila tahun ini kami menjalankan kerjasama dengan Harvard Graduate School of Design untuk perkongsian ilmu dan kepakaran dalam rekaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia Gladys Goh berkata, meskipun penyertaan menyaksikan peningkatan drastik iaitu lebih 5,000 penyertaan dari 600 institusi rantau Asia, tetapi jumlah itu masih tidak memadai bagi pihaknya.

“Ketika ini pembabitan peserta hanya dari 15 negara termasuk Malaysia, Singapura, Filipina, Bangladesh, Thailand, Pakistan, Indonesia, Papua New Guinea, Vietnam, China, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Sri Lanka. Sedangkan impian kami lebih besar iaitu mahu pembabitan lebih banyak negara serta institusi dapat menyertai AYDA pada masa depan.

“Kami gembira dengan sokongan diterima daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia terutama dalam memberi pendedahan meluas mengenai pertandingan ini. Kami berharap dengan adanya komitmen membabitkan peringkat kerajaan lain-lain negara membolehkan AYDA mencungkil bakat lebih ramai peserta dari negara serantau,” katanya.

Persidangan Pereka Muda Asia ialah kemuncak kepada Anugerah Pereka Muda Asia tahunan, di mana pemenang serantau dari 13 negara Asia iaitu Bangladesh, China dan rantau China termasuk Hong Kong dan Taiwan, India, Indonesia, Iran, Jepun, Malaysia, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam berkumpul mengikuti program pembelajaran intensif merangkumi lawatan sambil belajar, sesi latihan dan perkongsian oleh pakar industri terkenal selain bertanding dalam pertandingan peringkat akhir serantau untuk merebut gelaran berprestij Pereka Muda Asia.

Pada majlis itu pelajar Universiti Taylor, Shahmeena Labeeb dinobat sebagai pemenang emas kategori rekaan dalaman dan wakil Universiti Malaya, Ng Wai How mendapat pingat emas bagi kategori seni bina turut berkongsi pengalaman mereka dalam majlis berkenaan.

Persidangan sama turut membariskan pereka tersohor serantau Asia termasuk Pengasas Bersama dan arkitek Studio Symbiosis India Ar Amit Gupta dan Ar Britta Knobel Gupta, Pengasas dan Pengarah Rekaan di Chu Chih-Kang Space Design Taiwan dan Rantau China Chu Chih-Kang, Pengurus Cawangan Artelia Italia Company (Iran) Dr Kamran Afshar Naderi dan Timbalan Pengarah Urusan syarikat arkitek hpa Hong Kong Nicholas Ho dan Pengasas RT+Q Architects Singapura Rene Tan.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 12:23am
d