dekotaman

Rekaan mesra pengguna

Oleh Aniza Zainudin

Memberi peluang kepada institut pengajian tinggi sebagai peserta Pameran Perabot Eksport 2018

(EFE) dilihat sebagai inisiatif terbaik bagi mendedahkan mahasiswa berkenaan realiti dunia reka bentuk, pembuatan perabot dan pasaran bakal ditembusi.

Tampil dengan idea segar dan unik rekaan perabot, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membawakan beberapa hasil tangan pelajar Tahun Tiga, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Rekabentuk Pembuatan Perabot) kepada masyarakat.

Mengambil inspirasi konsep binaan Menara Berkembar Petronas, rekaan Deso-Twin dihasilkan Siti Sofia Sabu berjaya menonjolkan sisi kreatif.

Pelan rekaan yang menyuntik identiti

Malaysia ini menyerlahkan fungsi yang pelbagai, mudah disesuaikan dengan mana-mana sudut dan memperkenalkan meja belajar berinovasi.

Mempunyai laci

yang dilengkapi tiga

akses sudut berbeza membuatkan Deso-Twin

ini lebih mesra pengguna dan memudahkan

proses.

Walaupun meja inovasi ini memiliki permukaan berkaca, namun ia boleh dilipat bagi mengurangkan penggunaan ruang.

Rekaan rak buku kontemporari, BWeen dihasilkan Azureen Hasnani Hassan pula menjadikan struktur sarang lebah sebagai idea utama.

Menghasilkan rak buku berbentuk heksagon, binaan prototaip ini menggunakan material seperti kayu, plastik dan besi.

Memiliki reka bentuk yang elegan dan moden, rak buku mudah alih ini sesuai untuk ditempatkan di ruang sempit.

Menurut pelajar, Ahmad Nazri Jamal, karya dipamerkan antara kerja tangan rakan-rakannya bagi subjek Rekabentuk Perabot 2.

“Kebanyakan kerja tangan yang dipamerkan ini adalah berkonsepkan moden dengan mengambil inspirasi daripada pelbagai aspek sama ada bangunan, alam sekitar atau sukan.

“Ini adalah hasil kerja yang wajib kami lakukan bagi memenuhi tuntutan kursus. Kebanyakan prototaip dibina menggunakan kayu Oriented Strand Board (OSB) dan kayu pain yang lebih rendah kos penghasilannya, serta bahan kitar semula lain.

“Setiap perabot yang dihasilkan adalah 100 peratus daripada pelajar, bermula daripada pencarian idea, reka bentuk, pemilihan bahan seterusnya proses pembuatan dengan bantuan nasihat pensyarah,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Ahmad Nazri berkata peluang menyertai EFE memberi ruang kepada universiti dan pelajar untuk bertemu secara langsung dengan pelanggan sasaran seperti pengeluar atau kilang perabot yang berminat menjalinkan kolaborasi.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 2:03pm
d