dekotaman

Putih, krim dominasi ruang tamu

Oleh Hartini Mohd Nawi

Siapa pun yang bertandang pasti tidak menolak hakikat bahawa kediaman ini sarat dengan seribu satu keunikan pada ruang dalamannya.

Idea penataan diketengahkan sudah cukup membawa gambaran yang pemiliknya Zunaidah Ani, 41, antara pencinta gaya dekorasi Inggeris.

Menyedari gaya itu antara konsep hiasan dalaman yang sangat popular dalam kalangan masyarakat negara ini, Zunaidah lantas menggunakan pendekatan tersendiri supaya ruang kediamannya tampil berbeza.

“Sebut saja gaya Inggeris sudah tentu kita bayangkan suasana ruang yang dihiasi dengan perabot putih dan aksesori hiasan pula bermotif bunga-bungaan.

“Elemen itu antara yang perlu ada dan menjadi kekuatan dalam menterjemahkan gaya Inggeris. Jadi saya tidak mahu idea penataan yang diketengahkan ini sekadar biasa-biasa.

“Bezanya, saya lebih gemar menghasilkan sendiri aksesori hiasan gaya Inggeris ini. Kebanyakan alas sofa dan meja serta langsir saya jahit atau kait sendiri,” katanya ketika sesi temu bual di kediamannya di Kampung Delek, Klang, Selangor, baru-baru ini.

Reka letak setiap setiap perabot dan aksesori hiasan pula sering berubah mengikut kesesuaian bagi mengelak kebosanan.

Latar putih dan krim yang menjadi warna dominan pada ruang tamu serta ruang santai lebih menambahkan keselesaan. Suasana juga kelihatan lebih luas, kemas dan bersih.

Sofa empuk putih krim beralas fabrik bunga-bungaan yang dijahit sendiri Zunaidah dan mesin jahit terpakai juga dicat warna putih antara pelengkap ruang tamu.

Dinding pula tidak dibiarkan kosong, sebaliknya berseri dengan kertas dinding corak tekstur batu-batuan.

Beberapa aksesori hiasan motif bunga-bungaan pula melengkapkan latar dinding itu. Semua elemen berkenaan menjadi titik fokal di ruang tamu itu.

Bersebelahan ruang tamu, diwujudkan juga ruang santai pelbagai fungsi.

“Jika tetamu ramai, ruang ini antara penyelamat. Sebab itulah idea dekorasinya dilihat mempunyai kesinambungan dengan ruang tamu.

“Cuma tempat duduk bersaiz panjang beralas kusyen dengan material besi bersalut putih krim menjadi perabot utama di ruang ini.

“Sementara itu, pada sudut dindingnya saya tempatkan sepasang kerusi santai putih berbunga-bungaan dengan hiasan ringkas. Semuanya dalam gaya Inggeris,” katanya.

Mempunyai anak yang masih kecil pula bukan halangan kepada suri rumah sepenuh masa ini untuk mengekalkan dekorasi gaya Inggeris.

Lantaran putih dan krim antara warna mudah terkesan jika kotor serta aksesori hiasan pula ada juga yang bersaiz kecil.

“Suasana berlatarkan putih dan krim ini mengajar kami seisi keluarga untuk lebih berhati-hati dan sentiasa mengamalkan kebersihan.

“Aksesori hiasan kecil pula membawa mesej untuk kami lebih menghargai nilai estetikanya.

“Dari itu anak sudah terbiasa, terdidik dengan disiplin dan ketelitian sebaik berada di dua ruang ini,” katanya yang sering mendapat sokongan suami tercinta, Mohd Suhardi Mohd Hussin.

Bercerita berkenaan inspirasi gaya dekorasi itu Zunaidah berkata, dia bersyukur kerana turut dikelilingi rakan yang mempunyai minat sama.

Malah media sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi medannya untuk saling bertukar pandangan.

“Situasi itu sering membantu saya untuk menzahirkan gaya Inggeris unik seperti diinginkan.

“Apatah lagi gaya ini tidak memerlukan kita berbelanja besar cukup sekadar mendapatkan aksesori hiasan di kedai harga patut.

“Namun apabila menghiasi ruang, suasana eksklusif menampakkan ia adalah aksesori hiasan mahal. Begitu juga dengan kertas dinding yang saya dan suami pasang sendiri,” kata anak kelahiran Klang itu.

Waktu pagi sesudah anaknya ke sekolah adalah masa yang digunakan wanita kreatif ini untuk membersihkan ruang kediamannya setiap hari.

Begitu juga dengan hujung minggu yang menjadi waktu terbaik buat dia dan keluarga bersama-sama menyelenggara ruang dalaman.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 2:55pm
d