dekotaman

Rekaan unik Kerusi KL

Oleh Nurul Husna Mahmud

KERUSI ikonik Barcelona direka arkitek berbangsa Jerman-Amerika Lugwig Mies valn de Rohe menjadi inspirasi kepada Festival Senibina Kuala Lumpur 2018 (KLAF) yang memulakan pencarian kerusi bagi melambangkan Malaysia menerusi Pertandingan Kerusi Kuala Lumpur 2018, baru-baru ini.

Menariknya pertandingan yang menerima penyertaan 104 rekaan itu turut menyenarai pendek 18 rekaan terbaik untuk dipamerkan kepada umum di Balai Seni Negara dari 30 Jun hingga 8 Ogos lalu bagi membuka undian kategori kegemaran ramai.

Rekaan kerusi rotan berstruktur besi yang disalut cat berwarna hitam rekaan Tan Shin Bian, Ng Zhia Zhing dan Sze Yoong Shern berjaya menambat hati panel juri yang terdiri daripada Penaung DiRaja KLAF2018 Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Ar Ezumi Harzani, Presiden Institut Rekaan Dalaman Malaysia Ar Chris Yap Seng Chye, artis seni Ahmad Zakii Anuar dan penyanyi rap Altimet.

Menurut Ng, mereka berdepan pelbagai cabaran untuk menghasilkan kerusi berkenaan. Ia bermula dengan mencari kilang atau pengimpal besi yang sanggup membina struktur asas kerusi mengikut spesifikasi rekaan dalam tempoh singkat.

“Tempoh untuk kami menghasilkan prototaip kerusi dirasakan semakin singkat apabila sukar menemui bengkel atau tukang besi yang sanggup memenuhi permintaan kami hingga berjaya menemui kilang perabot yang sedia membantu.

“Selepas itu timbul cabaran kedua iaitu mencari tenaga mahir atau penganyam rotan yang sudi menghasilkan lapisan permukaan membalut hingga menjadi bentuk seperti ini. Kami gembira kerana dalam tempoh kritikal itu dapat juga menemui orang hebat untuk merealisasikan idea kepada bentuk sebenar.

“Dalam proses ini kami banyak belajar cabaran sebagai pereka iaitu proses transformasi idea kepada produk praktikal bukan sesuatu mudah. Kami gembira dapat mempamerkan hasil atau interpretasi berkenaan kerusi melambangkan identiti Malaysia.

“Kami memaparkan konsep penjimatan ruang atau fleksibiliti kerana kerusi ini boleh disusun bertindih ketika disimpan,” katanya yang berkongsi hadiah kemenangan berjumlah RM15,000 dengan dua pereka lain.

Sementara itu, rekaan kerusi berbentuk kubik dinamakan ‘Black Brick’ hasil kerja tangan Arian Md Zahari dan Azlan Zainuddin menarik perhatian umum.

Kata Arian, pelan asal ialah menggunakan material lain yang lebih fleksibel dan mudah diurus, tapi terlalu mahal untuk menjayakan idea mereka.

“Penggunaan material berkenaan memudahkan kami membentuk rekaan diingini kerana kerja pertukangan dilakukan sendiri di bengkel,” katanya.

Sementara itu, Presiden PAM yang menganjurkan pertandingan itu Ar Ezumi berkata, pihaknya berpuas hati dengan kualiti seawal pembentangan idea sehingga peringkat prototaip.

“Pemenang bukan saja dinilai dari aspek estetika iaitu rekaan dan penggunaan material yang bercirikan tempatan, aspek praktikal turut diambil kira supaya kerusi yang direka boleh disesuaikan pada sebarang ruang dan suasana. Keunikan lain pada rekaan Kerusi KL ini ialah mempunyai elemen komersial untuk pasaran tempatan mahupun global,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 1:23am
d