dekotaman

Bumbung motif gelombang

Oleh Susunan Aniza Zainudin

Berinspirasikan struktur binaan di Catalonia, Sepanyol yang memiliki kriteria berkubah dan melengkung, elemen sama turut diterapkan dalam reka bentuk Perpustakaan Maya Somaiya.

Arkitek Sameep Padora dari Sameep Padora & Associates bertanggungjawab menghasilkan rekaan bumbung berbentuk melengkung bagi kompleks perpustakaan kanak-kanak yang beroperasi di Kopargaon, Maharashtra, India itu.

Terletak di kawasan yang sempit dan ‘tersepit’ antara bangunan sedia ada dan tanah ladang, idea

cuba diterjemahkan berdasarkan pelan perpustakaan iaitu bumbung dicipta kelihatan seolah-olah ‘tumbuh’ atau bersambung dari tanah.

Sameep mencipta bumbung bermotifkan gelombang menggunakan material batu bata yang memiliki ton neutral sebagai tarikan utama.

“Mengikut gerak hati terhadap reka bentuk dan binaan perpustakaan ini, kita membayangkan seni bina ini adalah ‘sambungan’ kepada tanah.

“Penggunaan batu bata sebagai bahan utama dilihat bertepatan kerana cirinya mampu menjadi penebat haba matahari.

“Kami juga mendapat ilham daripada struktur geodesi (kedudukan sebenar, bentuk dan saiz bumi) sedia ada di sekolah ini, sekali gus meneroka kemungkinan penyelesaian pembinaan yang lebih berinovatif untuk bangunan baru kelak,” katanya.

Sameep memilih struktur gerbang yang dikenali sebagai kubah Catalan bagi bentuk bumbung fasiliti yang selalunya ditemui di Mediterranean.

Menggunakan program pemodelan 3D Rhinoceros bagi mencipta permukaan melengkung bumbung, perisian ini turut berfungsi memudahkan reka bentuk struktur berkonsepkan mampatan.

Malah bangunan bumbung berkubah ini mempunyai ruang besar yang mampu memuatkan lebih 22,000 buku bersesuaian memenuhi keperluan pelajar Sekolah Inggeris Shri Sharda.

Ukuran panjang bumbung perpustakaan mencecah 44 meter ini dibina daripada tiga lapisan bata setebal 32 milimeter dan diperkukuhkan dengan campuran mortar (pasir, kapur, simen serta air). Hasilnya, ia memiliki ketahanan struktur yang tinggi.

Memberi ilusi seperti berada di dalam terowong, perpustakaan ini turut dibina berkonsepkan terbuka dengan penggunaan dinding dan jendela separa lut sinar daripada kaca.

Impak daripada dinding kaca bersudut geometri menarik ini, membuatkan pencahayaan semula jadi menerangi ruang dalaman.

Malah penggunaan batu bata turut memberi rasa sejuk dan nyaman di bahagian dalam perpustakaan pada sebelah siang.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 7:15am
d