dekotaman

Binaan untuk cari ketenangan

FIRMA Seni Bina Bjarke Ingels Group (BIG) mencipta sebuah kabin hitam kecil dengan bumbung bersudut tajam yang menjadi model pertama rumah pasang siap di Hudson Valley, New York.

Syarikat yang berpangkalan di Copenhagen, Denmark dan New York, Amerika Syarikat itu menamakan kabin contoh berkenaan sebagai A45.

Ia adalah siri pertama ‘rumah kecil’ yang dihasilkan syarikat berkenaan.

Bangunan satu tingkat itu dibina dengan keluasan 183 kaki persegi yang terdiri daripada ruang tamu terbuka bersama ruang tidur dilengkapi tempat memasak bersaiz kecil, bilik mandi dan loteng.

Dinding kabin A45 itu berbentuk segi tiga yang diperbuat menggunakan kayu pain berwarna gelap dengan gaya bumbung seperti ‘berpusing’ sekali gus menyerlahkan keunikan pada kabin berkenaan.

Reka bentuk kabin terbabit adalah evolusi daripada kabin tradisional berbentuk bingkai-A yang memudahkan pengaliran air hujan dan juga pembinaan yang ringkas.

Jika dilihat dari luar, kabin A45 kelihatan mirip bentuk berlian menunjukkan reka bentuknya yang sentiasa berubah.

Kabin itu dipasang di tapak dengan empat tiang konkrit dan kaedah ini membolehkan pemilik memasang rumah kecil mereka di kawasan terpencil tanpa menggunakan jentera berat.

Kebanyakan bahan yang digunakan dalam pembinaan kabin itu adalah bahan boleh dikitar semula termasuk bingkai kayu, dinding, lantai dan siling.

Ruang kecil dapur kabin itu pula direka dengan kabinet kayu ringan oleh pembuat perabot Kobenhavns Mobelsnedkeri dari Copenhagen.

Kabin itu menggambarkan kehidupan di negara Nordik iaitu Eropah Utara yang terdiri daripada Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden yang mengutamakan keselesaan serta reka bentuk.

Kabin pasang siap itu dicipta untuk memenuhi keinginan penghuni kota yang mahu mencari ketenangan dengan melarikan diri daripada kesesakan bandar raya ke alam semula jadi.-Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 7:01am
d