dekotaman

Kediaman gaya industri

Oleh Zaitie Satibi

GAYA industri memiliki kesan maskulin kerana menonjolkan tekstur yang kasar dan biasanya didominasi warna gelap serta monokrom. Konsep begini kian mendapat tempat di hati peminat dekorasi.

Ini berikutan konsep yang dilihat santai lagi selesa itu menggabungkan elemen moden yang ringkas, kemas dan penekanan bahan asas bersifat 'belum siap' seperti batu-bata, besi, aluminium atau simen konkrit tanpa kemasan akhir.

Kebaikan konsep ini ialah apa saja barang lama boleh dijadikan hiasan walaupun ia sudah rosak. Hiasan terdiri daripada barangan lama menggambarkan suasana seolah-olah mempunyai kisah lampau dan menimbulkan nostalgia.

Tertarik untuk mengubah penampilan kediaman dengan gaya industri mendorong pasangan suami isteri, Azmir Abu Bakar Taib, 39, dan Rosliana Abdul Samad, 39, mendapatkan sentuhan pereka dalaman kerana percaya ia mampu menjadi identiti yang menyerlahkan keindahan dekorasi kediaman mereka.

Pasangan dengan tiga cahaya mata itu mengakui pada awalnya sukar menentukan konsep kediaman di Avenue Crest, Seksyen 22, Shah Alam, Selangor yang bersaiz kecil dengan ruangan studio tanpa bilik apabila satu ruang untuk semua.

“Kami sebenarnya tertarik kepada gaya industri begini selepas melihat premis yang ditata hias dengan gaya itu ketika bercuti di New Zealand. Namun, di negara ini konsep berkenaan lazimnya diterapkan di premis komersial seperti kafe dan pejabat.

“Bagaimanapun, kami ingin menampilkan konsep yang sama di kediaman kerana yakin ia dapat memberikan kesan unik dan artistik.

“Oleh itu, kami berbincang dengan rakan yang meminati dekorasi berkenaan konsep diinginkan sebelum mengupah pereka hiasan dalaman untuk merealisasikan rumah idaman,” kata Azmir.

Satu daripada ciri khas gaya industri adalah kesan ‘belum siap’ pada dinding atau lantai. Ia dapat dilihat pada sebahagian dinding dengan kemasan batu bata tanah liat merah, manakala sebahagian lagi dinding dan lantai pula daripada simen konkrit bertekstur halus.

Dinding dan lantai berwarna asli, sekali gus memberikan kesan tidak siap apabila material berjaya diolah untuk menonjolkan estetika bahan itu sendiri. Bagaimanapun, pereka turut menambah karakter kediaman dengan papan kayu sebagai kemasan dinding di ruang dapur menjadikan ruang itu lebih anggun dan elegan.

Namun, dinding tidak dibiarkan polos tanpa aksesori apabila lukisan palet bercorak abstrak mengambil tempat di kamar tidur, manakala beberapa gambar lama hitam putih turut digantung bagi mewujudkan sentimen nostalgia pada satu sudut itu.

Elemen struktur bangunan yang menjadi asas gaya industri turut dipamerkan pada bahagian siling. Ia diwarnakan gelap supaya dapat memantulkan pencahayaan rendah yang menghidupkan lagi suasana gaya berkenaan.

Saluran paip pada siling bukan saja melengkapkan gaya industri, malah memperlihatkan dimensi visual yang unik dan tidak terdapat pada gaya hiasan dalaman lain.

“Menata hias rumah kecil bermaksud kita perlu bijak membahagikan fungsi ruang terutama jika jumlah yang ada terhad namun memilih perabot dan susunan yang betul juga faktor penting dalam dekorasi kediaman.

“Kami memilih perabot dengan elemen logam dan kayu bagi memadankannya dengan konsep industri. Meja kecil berbentuk empat segi tepat bersama bangku kayu berkaki logam dengan gaya vintaj ditempatkan di tengah-tengah ruang rumah dan berfungsi sebagai tempat menjamu selera serta perbincangan.

“Ruang istirahat sekeluarga berhampiran meja kayu tadi hanya dipisahkan dua kerusi logam beralas kusyen. Satu kabinet kayu dan televisyen pula ditempatkan di ruang istirahat ini dan ia menjadi lokasi kegemaran anak-anak,” katanya.

Umumnya rekaan industri memakai perabot bergaya vintaj, malah ada yang benar-benar menggunakan barang antik sebagai pelengkap dekorasi. Gagasan rekaan dalaman gaya ini juga memiliki kecenderungan minimalis bagi mendapatkan gaya industri yang diperkuatkan dengan pemilihan warna semula jadi.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 7:01am
d