dekotaman

Lonjak kraf warisan

Oleh Aniza Zainudin

Aksesori hiasan dalaman seperti tikar dan tudung saji mengkuang, alas meja berkait serta bunga buatan tangan antara perhiasan kraf tangan popular dalam kalangan masyarakat terdahulu.

Ketika mengunjungi kediaman pusaka nenek moyang, atmosfera yang sama dirasai apabila rata-rata pemilik rumah menggunakan material perhiasan berasaskan bahan semula jadi buatan tempatan.

Dibandingkan dengan trend hari ini, konsep dekorasi berasaskan kedesaan tradisional bukanlah pilihan utama kerana terlalu banyak pendedahan idea tata hias baru hasil perkembangan teknologi komunikasi moden.

Oleh itu, persoalannya di manakah ruang untuk memartabatkan khazanah warisan budaya Malaysia apabila aksesori dekorasi bukan lagi tertumpu pada produk kraf tangan tempatan?

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail berkata, produk kraf tangan negara memiliki standard dan kelas tersendiri hingga ia menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Hasil kraf tangan ini merangkumi tekstil seperti batik dan songket, hasil rimba seperti rotan, mengkuang, produk kayu serta seramik.

“Demi mengangkat martabat warisan budaya ini, Kraftangan Malaysia perlu mengambil pendekatan berbeza dengan mengenal pasti idea baru seterusnya mengkomersialkan produk kraf tangan di lapangan berbeza terutama industri pelancongan.

“Berikutan itu, penganjuran Pasareka 2018 atau Design Market 2018 di Kompleks Kraf Johor nanti dilihat bertepatan kerana ia adalah aktiviti yang menghimpunkan kegiatan seni dan kreativiti dalam aspek reka bentuk produk kraf tempatan.

“Ia juga bakal menjadi platform perkongsian idea pereka kraf tangan tempatan, penggiat seni, pemain industri dan usahawan.

“Pasareka adalah ruang untuk kita mencungkil idea baru bagi membantu kerajaan memperkenalkan warisan kraf tangan yang boleh dijadikan cenderamata.

“Setiap tahun negara kita menerima kunjungan pelancong yang tinggi, jadi kita perlu mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan Malaysia menerusi penghasilan cenderahati yang menarik.

“Tambahan lagi, dalam tempoh dua tahun, kita bakal meraikan Tahun Melawat Malaysia 2020. Jadi, Kraftangan Malaysia perlu mencari dengan idea baru sebagai persediaan,” katanya sempena aktiviti simulasi Reka Reka Kraf Rakyat bersama media di Kompleks Kraf Johor, minggu lalu.

Bakal menganjurkan siri Pasareka di Sabah dan Sarawak pada tahun depan, Ibrahim mengakui negeri di Borneo mempunyai variasi produk kraf menarik dan berpotensi besar dalam pasaran.

Menyedari kelebihan produk kraf tangan itu, Kraftangan Malaysia turut turun padang untuk membantu komuniti terutama di kawasan pedalaman bagi menjana ekonomi menerusi produk kraf yang dihasilkan secara turun-temurun.

Katanya, Kraftangan Malaysia bukan saja berkongsi idea reka bentuk komersial bahkan memasarkan produk berkenaan.

Bagi memartabatkan produk kraf, Ibrahim berkata, teras memperkasakan komuniti kraf perlu dilaksanakan demi membentuk rantaian sempurna ekosistem industri kraf tangan negara.

“Komuniti ini merangkumi pembekal bahan mentah, pembuat kraf sama ada sepenuh masa dan sambilan, usahawan mahupun pengedar produk dan setiap ahli komuniti ini memiliki peranan serta fungsi penting bagi memastikan kejayaan keseluruhan ekosistem.

“Apabila wujudnya ekosistem kraf tangan, kita dapat menyerlahkan lagi kepentingan industri kraf kepada kerajaan dan negara dalam konteks yang lebih besar. Malah masyarakat bakal menerima manfaat ekonomi yang besar.

“Persepsi sering mengaitkan bahawa produk kraf lebih sinonim dengan kawasan kampung dan pedalaman, namun sebenarnya produk kraf turut boleh dihasilkan di bandar sekali gus membolehkan masyarakat bandar menjana pendapatan tambahan.

“Siri Pasareka ini akan diteruskan pada masa akan datang di setiap negeri dalam skala yang lebih kecil.

“Mengulas mengenai Festival Kraf Johor pada 20 Disember nanti, kita menyasarkan penyertaan kira-kira 300 usahawan kraf tangan dan menjangkakan hasilan jualan mencecah RM7 juta berbanding RM5 juta pada 2016,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Saraya Arbi berkata, penghasilan cenderamata yang berkait rapat dengan budaya mahupun warisan negara mampu menarik minat pelancong.

Katanya, setiap pelancong mencari keunikan budaya sesebuah negara yang dikunjungi, oleh itu pendekatan mempromosikan budaya dan kraf tangan Malaysia menerusi cenderamata antara usaha yang tepat.

Aktiviti simulasi Reka Reka Kraf Rakyat bersama media, agensi kerajaan, swasta, pelancongan dan perhotelan sempena Pasareka 2018 yang bakal berlangsung pada 15 hingga 18 Disember nanti di Kompleks Kraf Johor.

Siri simulasi yang dimulakan pada Ogos lalu bertujuan memberi peluang pendidikan dan penghasilan produk kraf kepada golongan komuniti termasuk pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, pemain industri dan agensi berkaitan.

Kira-kira 338 peserta tidak melepaskan peluang untuk mengikuti aktiviti pembuatan kraf seperti angklung, kompang, wau, miniatur busana tradisional Johor.

Lebih menarik, program Pasareka 2018 turut membabitkan pereka dan adiguru kraf untuk berkarya dan menampilkan idea kreatif dalam penghasilan produk kraf inspirasi daripada kraf rakyat.

Bukan sekadar menekankan aspek pembangunan reka bentuk kraf lebih komersial, Pasareka 2018 adalah ruang untuk mempromosikan rekaan terbaru dan memperluaskan jaringan perniagaan bagi pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

AKTIVITI

Pameran produk baru

Mengetengahkan kraf pereka Kraftangan Malaysia sebagai inspirasi pembangunan reka bentuk produk yang merangkumi tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf.

Turut mempamerkan produk baru, kajian bahan produk, rekaan, teknologi, inovasi dan peranan agensi berkaitan.

Reka Reka Kraf Rakyat

Aktiviti pendidikan kraf dalam menghasilkan produk kraf rakyat seperti angklung, wau, kompang, miniatur busana Johor.

Kata Pereka

Seminar bersama personaliti dalam industri kreatif bagi berkongsi maklumat, idea penghasilan dan pembuatan rekaan kraf untuk perabot, aksesori serta perhiasan logam dan seramik.

Bual Bicara ‘Pocket Talk’

Aktiviti bual bicara dan perkongsian idea, trend dan pengalaman pereka jemputan, pemain industri reka bentuk dan usahawan kraf berkaitan ukiran perabot Malaysia, tekstil tenun, elemen warisan dan pewarnaan dalam reka bentuk.

Pasar Rekaan

Aktiviti jualan produk kraf dalam bidang tekstil, hasil rimba, logam dan aneka kraf.

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 8:02am
d