dekotaman

'Sarang lebah' untuk pendaki gunung

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

FIRMA arkitek, Spinn Arkitekter menghasilkan rekaan kabin kayu pasang siap berbentuk sarang lebah yang dipasang di kawasan pergunungan Storfjellet di Rana, Nordland, Norway.

Kabin dinamakan Varden itu dibina sebagai tempat perlindungan untuk pendaki selain menggalakkan aktiviti mendaki gunung di persekitaran bandar Hammerfest.

Pembinaan kabin berkenaan hasil kerjasama dengan syarikat Form Engineers menggunakan kerangka pasang siap berasaskan bahan semula jadi.

Rakan kongsi Spinn Arkitekter, James Dodson berkata, reka bentuk Varden adalah gambaran terhadap persekitaran landskap di kawasan artik (Kutub Utara).

“Kami mahu reka bentuk pembinaan kabin ini memberi kesan minimum terhadap persekitaran di kawasan ini (pergunungan Storfjellet) menggunakan bahan mesra alam.

“Kabin berukuran 15 meter persegi ini menggunakan 77 panel kayu balak berlapis unik yang membentuk kubah. Setiap potongan kepingan kayu pula mirip bentuk heksagon seperti sarang lebah,” katanya.

Panel kayu pasang siap ini direka bentuk Studio Seni Bina Norway yang turut kelihatan seperti susunan ‘puzzle’ tiga dimensi. Ia memudahkan kumpulan sukarelawan mengangkat dan memasang struktur binaan terbabit dengan cekap.

Varden didirikan di atas kepingan papan dan konkrit setebal 30 sentimeter. Pintu pula diletakkan di bahagian hujung bagi mengelakkan kabin daripada dimasuki salji.

Bahagian dalam kabin pula berdindingkan panel kayu supaya kelihatan lebih menarik dan dapat memberi kehangatan kepada penghuninya.

Kemudahan lilin dan dapur kayu kecil disediakan untuk pencahayaan ruang kabin pada sebelah malam.

Terdapat satu tingkap kaca yang besar di bahagian hadapan kabin bagi pencahayaan matahari pada sebelah siang. Turut disediakan meja dan kerusi untuk kegunaan penghuninya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain firma Spinn Arkitekter bakal membina sebuah kabin berkembar di Gunung Tyven di Hammerfest tahun ini.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 12:07pm
d