dekotaman

Evolusi teknologi kraf [METROTV]

Oleh Nurul Husna Mahmud

PENGUNJUNG Hari Kraf Kebangsaan 2019 (HKK 2019) bakal merasai sendiri pe­ngalaman integrasi teknologi maya menerusi segmen Digital Park yang membolehkan mereka dibantu pemandu pelancong maya dan aplikasi virtual.

Difahamkan, pe­nganjuran HKK 2019 yang menggunakan aplikasi dan teknologi digital julung kali diadakan Kraftangan Malaysia selain festival kraf pertama yang menggunakan kaedah seumpama itu di Malaysia.

Bagi memberikan kejutan dalam segmen terbaharu itu, pengunjung turut dilengkapi kemudahan sistem QR Code dan aplikasi Boost yang membolehkan urusan pembelian berlangsung lebih mudah dan selamat.

Menurut Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail, inisiatif berkenaan pada masa sama dilihat mampu menarik perhatian umum terutama golongan muda dalam mendekati produk kraf tempatan yang bermutu tinggi, sekali gus memperkasa penggiat industri kraf di negara ini.

“Kelainan dalam HKK 2019 ialah Digital Park apabila pengunjung merasai pengalaman digital menerusi aktiviti seperti Virtual Assistant, Augmented Reality (AR), Digital Craft Book, Virtual Shop (e-Commerce), Chatbot, QR-Code AR, Interactive Wall dan Virtual Reality.

“Objektifnya adalah untuk menarik kehadiran pengunjung terutama golongan belia memahami dan merasai sendiri evolusi teknologi kraf. Ia diharap mampu menerapkan minat dan kecintaan terhadap seni kraf tempatan.

“Elemen berteraskan adaptasi Revolusi Industri 4.0 seperti pengkodan (QR-Code), pembuatan model 3D, simulasi, animasi dan pelbagai pameran interaktif ditampilkan menerusi pendigitalan aktiviti pembangunan rekaan dan produk, pendidikan, pemasaran dan pembuatan kraf yang relevan dengan situasi semasa.

“Pendekatan ini juga dilihat sebagai medium penyampaian maklumat yang berkesan menerusi pembangunan kandungan digital yang interaktif dan menarik. Sistem QR Code ini umpamanya khusus bagi penggemar songket yang mementingkan kualiti dan keaslian produk itu. Mereka boleh mengimbas kod pada songket yang dijual sepanjang HKK 2019 berlangsung.

“Melalui imbasan itu, pembeli songket akan mendapat semua maklumat berkenaan songket termasuk asal, jenis dan pembuatnya,” katanya pada sidang media dan Countdown HKK 2019 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Kata Ibrahim, sasaran jualan sepanjang Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2019 (HKK 2019) yang dijadualkan berlangsung dari 28 Februari hingga 11 Mac ini di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur, sebanyak RM18.5 juta dilihat jumlah yang realistik apabila pihaknya menganggarkan kunjungan sekitar 45,000 orang selain kewujudan segmen digital membantu memacu pendapatan penggiat kraf sepanjang HKK 2019.

Katanya, pendapatan itu tidak hanya berpandukan hasil jualan di Kompleks Kraf ini semata-mata, sebaliknya turut dilaksanakan di pusat beli-belah dan hotel terpilih.

“HKK 2019 menarik penyertaan 300 usahawan kraf bagi sambutan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan 200 usahawan kraf bagi Festival Kraf Kebangsaan di hotel dan pusat beli-belah.

“Selaras dengan tema tahun ini iaitu Memperkasa Komuniti Kraf, kami datangkan produk terbaharu daripada usahawan kraf termasuk komuniti kraf baru di bawah program Pemerkasaan Komuniti Kraf Baru di Lahad Datu, Sabah, Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu.

“Produk yang pelbagai fungsi dan kegunaan meliputi hiasan dalaman dan taman, perhiasan diri, kelengkapan rumah sehinggalah menjadi pelengkap kepada majlis keraian dan perayaan dalam masyarakat di negara ini yang boleh diperoleh di sini.

“Selain jualan, pengunjung dapat menyaksikan pelbagai pameran menarik. Antaranya pameran reka bentuk produk perabot kolaborasi bersama Blaine Robert daripada Blaine Robert Design Sdn Bhd yang turut menampilkan rekaan perabot berkualiti antarabangsa dengan identiti tempatan.

“Turut berlangsung, padanan perniagaan, persembahan kesenian craftainment (hiburan-kraf), bicara kraf, pendidikan & interaktif kraf serta aktiviti berbentuk bimbingan usahawan menerusi pemasaran digital,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Seksyen Pasaran dan Promosi Bahagian Pembangunan Industri, Tengku Azrul Hisham Tengku Abdullah menyifatkan slot teknologi digital diperkenalkan dalam HKK 2019 antara elemen interaktif termasuk teknologi VR terkini.

“Kami bangunkan Virtual Assistant untuk membantu memudahkan pergerakan pengunjung sepanjang berada dalam pameran. Mereka boleh gunakan aplikasi khas daripada telefon pintar sebagai direktori bergerak.

“Ruang pameran menawarkan teknologi hologram selain Virtual Dress Room (Bilik Salin Maya) yang tidak memerlukan pengunjung melakukan penukaran pakaian secara konvensional. Ia lebih mudah dan cekap,” katanya.

HKK 2019 bakal dirasmikan pada 28 Februari oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 7:01am
d