dekotaman

Dimensi baharu ruang pejabat

Oleh Hafiz Ithnin

SEBAIK saja syarikat teknologi paling berpengaruh dunia, Google mendedahkan rekaan dalaman ibu pejabatnya, Googleplex di California sekitar 2005, ramai menunjukkan rasa kagum dengan sentuhan itu kerana menyediakan keselesaan buat kakitangannya.

Lebih menangkap perhatian apabila Filem The Internship ditayangkan pada 2013 menjadikan Googleplex sebagai lokasi utama penggambaran yang sebenarnya menterjemahkan erti di sebalik reka bentuk dan hiasan dalaman itu apabila banyak bermain dengan ruang, membantu setiap pekerja untuk menjadi lebih kreatif dan bijak bersosial.

Reka bentuk dan aturan perabot di dalam pejabat yang masih menerapkan elemen kubikel dan bilik khas di dalam ruang nampaknya sudah lapuk dan tidak sesuai dengan keperluan masa kini terutama apabila hadirnya teknologi Internet untuk semua (IoT) di dalam revolusi industri 4.0.

Lantas peneraju syarikat rumusan dan reka bentuk dalaman pejabat, Steelcase Inc (Steelcase) turut melihat perkembangan reka bentuk dan hiasan dalaman kini lebih terarah kepada konsep ruang terbuka dan menjadikan pejabat mereka lebih pintar dengan IoT termasuk di Malaysia.

Menurut Pengarah Rantau Asia Tenggara Steelcase, Toby Rakison, konsep ruang terbuka mampu memberi kesan kepada pekerja untuk lebih aktif bersosial, menghasilkan kepelbagaian idea dan paling utama menjadikan mereka lebih produktif menyumbang bakat kepada syarikat.

Beliau berkata, pejabat tidak seharusnya dalam keadaan terlalu formal kerana ia memberi kesan kepada aktiviti sosial yang membosankan. Kini dengan kemudahan bekerja secara mudah alih, ia seharusnya memberi peluang kepada pekerja memilih lokasi yang sesuai untuk mereka bertugas.

“Kewujudan teknologi mudah alih ketika ini sudah tidak membataskan pergerakan pekerja untuk berada di satu ruang saja kerana penggunaan peranti pintar bersifat mudah alih memudahkan mereka menyiapkan tugasan di mana-mana ruang pejabat.

“Jadi dengan kewujudan kepelbagaian tempat bekerja di pejabat memberi peluang kepada pekerja memilih lokasi yang selesa menyiapkan tugasan. Sudah semestinya pilihan seperti itu tidak akan membosankan mereka untuk berada lama di pejabat,” katanya pada taklimat media renovasi ruang pusat perniagaannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Syarikat itu yang menjadikan pusat perniagaannya di Kuala Lumpur bukan sekadar pejabat operasi malah berfungsi sebagai galeri untuk memberi peluang kepada kepada pelanggan korporat melihat susun atur dan penggunaan perabot yang dihasilkannya.

Dalam lawatan itu, ternyata susun atur di ruang kosong, IoT dan kepelbagaian sudut bekerja memberi dimensi baru kepada pelawat untuk mengidamkan ruang pejabat yang dibangunkannya. Antara yang unik adalah ruang pantri yang biasanya berada di belakang pejabat, diwujudkan di bahagian depan bersama ruang utama. Di ruang itu suasana tidak ubah seperti berada di dalam kafe kerana bukan saja mempunyai kemudahan membancuh air dan makanan malah kepelbagaian tempat duduk memberi rasa santai untuk bekerja di situ.

Pejabat itu yang mempunyai reka bentuk satu pusingan turut diisi dengan pelbagai jenis bangku seperti sofa dua tempat duduk dan paling mengagumkan adalah sofa satu tempat duduk sekelilingnya ditutup penghadang bagi memberi privasi kepada pekerja untuk menyiapkan tugasan.

Toby berkata, reka bentuk perabot pejabat dan hiasan dalaman yang mengikuti personaliti atau kehendak pekerja sebenarnya mula agresif di peringkat global sejak antara lima hingga 10 tahun kebelakangan ini. Ia menjadi pilihan kerana mampu memberi kesan positif dalam dunia pekerjaan.

Katanya, bermain elemen alam semula jadi dalam mereka hias ruang pejabat juga penting bagi mewujudkan rasa segar dan lebih tenang berada di dalam pejabat untuk jangka masa yang lebih lama.

“Tidak menggunakan tirai pada tingkap sebenarnya antara unsur mengadunkan alam semula jadi dengan hiasan dalaman moden kerana ia bukan saja menjadikan ruang lebih luas malah memberi peluang cahaya matahari terus masuk ke dalam pejabat untuk menambah pencahayaan sedia ada yang menggunakan elektrik.

“Kehadiran pokok hiasan di dalam pejabat juga antara elemen yang boleh diterapkan untuk mengadunkan cita rasa moden dan semula jadi kerana pokok asli yang dijaga rapi menyumbang kepada persekitaran segar,” katanya. Malah beliau tidak menafikan prestasi syarikat Malaysia yang beralih kepada konsep ruang lebih dinamik berbanding konsep konvensional.

“Perkara ini menjadi pengukur membuktikan pemilik syarikat atau organisasi mula beralih kepada konsep pejabat yang lebih moden dengan menerapkan unsur ruang, lokasi kerja boleh ubah dan menggunakan teknologi IoT untuk memberi kesan terbaik. “Ia juga antara langkah bagi menjadikan individu yang berada di dalam pejabat lebih produktif untuk bekerja dan menghasilkan idea lebih kreatif,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 6:00am
d