dekotaman

Lipas benci bau rempah

Oleh Nurul Husna Mahmud

LIPAS antara serangga perosak yang sering ditemui dalam perabot seperti kabinet atau laci terutama di ruang dapur.

Serangga ini gemar bertelur di tempat tersorok, gelap dan lembap termasuk di celah atau sudut perabot selain meninggalkan najis di tempat membiak.

Tabiat lipas yang kotor seperti mencari makan dan gemar berkumpul termasuk di kawasan longkang, tong sampah dan tandas menyebabkan ia memberi kesan kesihatan kepada penghuni.

Malah serangga ini akan merayap hingga mencemari makanan, perkakasan dapur dan meja selain bau kurang menyenangkan. Justeru penting bagi penghuni kediaman menghalang dan mengurangkan kehadiran serangga ini dalam rumah.

Ada beberapa tip boleh diamalkan antaranya:

• Menggunakan sabun.

Sabun mandi dipotong kecil dan diletakkan di setiap kawasan yang mempunyai lipas. Antaranya pada laci, kabinet dapur dan sudut berdekatan tempat memasak.

• Halau dengan hirisan lemon.

Potong lemon dan letakkan di kawasan yang dipercayai menjadi tempat perkumpulan serangga ini. Biarkan hingga lemon kering dan gantikan dengan hirisan baru.

• Buah pelaga boleh menghalang pembiakan lipas.

Rempah ratus yang mempunyai bau kuat ini tidak disukai lipas. Ambil beberapa biji buah pelaga dan letakkan di tempat lipas sering membiak.

• Daun pandan di dalam laci atau ruang sering lipas bersembunyi.

Bau harum daun pandan boleh membawa aroma menyenangkan pada ruang tertentu. Ia juga antara alternatif terbaik mengusir kewujudan serangga seperti lipas. Potong halus letakkan dalam uncang dan letakkan di dalam laci atau lokasi sering lipas bersembunyi.

• Potongan timun boleh membunuh lipas.

Hujung dan pangkal timun antara penghalau terbaik untuk lipas. Caranya letakkan di tempat ada banyak lipas dan boleh lihat kesannya.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 9:17am
d