dekotaman

Pokok plastik jimat kos

Oleh Hafiz Ithnin

TANAMAN hiasan tiruan seperti bunga dan ranting yang boleh menonjolkan penataan ruang dalaman memang menjadi pilihan ramai untuk menghias rumah. Apatah lagi, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma dalam tempoh terdekat ini, pasti ia menjadi buruan.

Fungsi tanaman tiruan atau biasanya dipanggil pokok 'plastik' itu juga bagi menggantikan tanaman hiasan semula jadi yang sememangnya diketahui umum perlu dijaga dengan rapi bagi memastikan jangka hayatnya bertahan lebih lama.

Sempena sambutan Aidilfitri dijangka Rabu ini, dikongsikan beberapa maklumat yang perlu anda tahu berkenaan tanaman hiasan tiruan sebelum membuat keputusan untuk memilikinya.

HARGA LEBIH MURAH

Memandangkan pokok hiasan tiruan diperbuat daripada material yang jauh lebih murah berbanding tanaman hiasan sebenar.

Malah, ia juga sesuai untuk mereka yang gemarkan hiasan dalaman tampak kehijauan, tetapi mementingkan kos atau bajet. Tidak salah, kerana ia antara langkah penjimatan untuk menghias kediaman.

MUDAH ALIH

Pokok tiruan tidak begitu berat berbanding pokok hiasan semula jadi yang memerlukan pelbagai bahan tanaman.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti menukar konsep hiasan dalaman, menggunakan pokok tiruan dilihat lebih rasional kerana memudahkan kerja mengalih dan mengubah suai mengikut cita rasa anda.

Jadi, sempena sambutan Aidilfitri ini, pastinya akan ada susunan baru perabot di dalam kediaman. Pastinya, pokok tiruan dapat mengurangkan bebanan anda ketika kerja mengubah susun letak perabot dilakukan.

TAHAN LASAK

Kemeriahan Aidilfitri tentunya membuatkan kediaman anda dikunjungi saudara-mara dan jiran tetangga. Kehadiran tetamu cilik masih dalam dunia ingin menerokai perkara baru bukan satu cabaran baru kepada tuan rumah.

Malah, di media sosial juga kita sering kali mendengar rungutan tuan rumah yang berasa kurang selesa atau marah apabila anak tetamu memecahkan barangan perhiasan atau merosakkan perabot.

Jika anda menggunakan pokok tiruan, tidak perlu risau berkenaan pasu pecah atau perlu menjeling '24 jam' bagi memastikan tetamu cilik tidak memetik daun atau bunga yang baru hendak berputik kerana pokok anda tidak akan rosak, melainkan jika ia rentap.

Jadi sebagai tetamu, ibu atau bapa perhatikan aktiviti anak anda jika berkunjung ke rumah jiran atau saudara. Senyuman terukir, tapi sebenarnya panas hati si tuan rumah!

TEMPAT PERSINGGAHAN RAHSIA HABUK

Pokok hiasan tiruan sebenarnya menjadi lokasi paling mudah untuk habuk berkumpul tanpa anda sedar. Langkah terbaik ialah sentiasa pastikan ia dalam keadaan bersih.

Jika anda sedang melakukan aktiviti mengemas rumah seperti mengelap lantai atau tingkap, intai-intai juga celah pokok tiruan anda untuk dibersihkan sekali.

ANDA ASMA ATAU SENSITIF HABUK? LUPAKAN POKOK HIASAN TIRUAN

Seperti yang diketahui umum, golongan yang mempunyai masalah sensitif kepada habuk ini walaupun terdapat sedikit kotoran di lantai atau sofa, ada yang terkesan sehingga selsema atau rasa gatal berpanjangan.

Memandangkan pokok hiasan tiruan mudah menjadi lokasi persinggahan habuk, golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti alahan dan asma tidak digalakkan untuk memilikinya.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 6:00am
d