dekotaman

Seni bina jambatan unik

Oleh Susunan Nurul Husna Mahmud

JAMBATAN sering digambarkan sebagai struktur menghubungkan antara dua jurang baik jalan terpisah, lurah atau sungai.

Jika dahulu, rekaan jambatan yang baik dinilai berdasarkan kukuh dan ketahanannya, tapi kini rekaan menonjolkan landskap serta persekitarannya dilihat sebagai struktur ikonik sesuatu bandar atau negara.

Disenaraikan tiga rekaan jambatan unik di dunia yang memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri:

1. Jambatan Moses Halsteren, Belanda

Uniknya rekaan arkitek Ad Kil dan Ro Koster, apabila jambatan itu terletak di tali air yang berhampiran tembok Fort de Roovere abad ke-17 iaitu kubu yang dibina tentera Belanda bagi menghalang pencerobohan Perancis dan Sepanyol.

Jambatan itu dibina berasaskan kayu accoya yang terhasil daripada teknologi tinggi iaitu proses pengubahsuaian kayu ‘asetilasi’ bagi memastikan kayu berdaya tahan dan mampan berbanding kebanyakan kayu hutan tropika.

Untuk memastikan jambatan lebih lasak dengan persekitaran berair dan cuaca luar, pereka merawat kayu itu dengan salutan antikulat dan tanpa toksik.

Rahsia air tidak melimpah ke dalam laluan jambatan berkenaan disebabkan terdapat pam khas dipasang di bawahnya bagi pengaliran air ketika hujan lebat selain terdapat dua empangan di kedua-dua sisi tali air terbabit.

2. Jambatan Handerson di Telok Blangah, Singapura

Bagi yang mengagumi seni bina bercirikan lestari, konsep pembinaan jambatan Handerson di kawasan hijau negara republik itu pasti menarik perhatian sesiapa saja.

Memiliki ketinggian lebih 60 meter di atas permukaan laut dengan panjang sekitar 274 meter, jambatan ini menyajikan pemandangan malar hijau sepanjang laluan menghubungkan Mount Faber Park dengan Telok Blangah Hill Park.

Rekaan jambatan seolah-olah seperti pusaran gelombang ombak tampak begitu unik apabila dipadukan dengan perincian menggunakan kayu balau kuning berbentuk melengkung.

Lengkungan terhasil bukan saja memberi panorama cantik sebati dengan persekitaran semula jadi, malah perekanya begitu bijak menghasilkan ruang istirahat termasuk untuk meninjau pemandangan sekitar. Laluan berkenaan digemari peminat aktiviti bersukan atau rekreasi popular kerana turut dilengkapi lampu ketika malam.

3. Jambatan Banpo, Seoul, Korea Selatan

Pada waktu siang, Jambatan Banpo tidak jauh beza dengan peranan jambatan utama di bandar pesat apabila menghubungkan dua daerah Seocho dan Yongsan. Namun jambatan ini adalah jambatan pertama dibina mempunyai dua dek di negara berkenaan.

Tidak cukup dengan reputasi itu, kini jambatan berkenaan dilihat mempunyai nilai seni bina tersendiri dalam bidang pemasangan apabila mempunyai tarikan tersendiri. Ia menerusi persembahan air pancut yang berwarna-warni di sisi jambatan terbabit.

Malah jambatan yang mendapat jolokan ‘The Moonlight Rainbow Fountain’ itu turut dinobatkan Guinness World Record sebagai jambatan air terjun terpanjang di dunia menerusi pemasangan lebih 10,000 muncung LED di kedua-dua sisi sepanjang 1,140 meter.

Jambatan ini mempunyai 38 pam air dan 380 muncung di kedua-dua sisi yang menarik 190 tan air seminit dari sungai kira-kira 20 meter dari bawah dek. Ia juga mampu menembak air sejauh 43 meter secara mendatar.

Disiarkan pada: June 8, 2019 @ 9:30am
d