dekotaman

Elak kolam ragut nyawa

Oleh Susunan Aniza Zainudin

KOLAM ikan hiasan antara trend dekorasi landskap popular dan tidak lapuk ditelan zaman apatah lagi ia memberi sentuhan alam secara tidak langsung.

Sering menjadi perhatian tetamu, penjagaan kolam ikan hiasan perlu dititikberatkan bagi memastikan ia sentiasa cantik, bersih dan jernih.

Tanpa penjagaan rapi diiringi disiplin diri tinggi, kewujudan kolam ikan hiasan ini bakal menjadi ancaman nyawa apabila ia berisiko sebagai lokasi penternakan nyamuk Aedes.

Berikut antara panduan yang boleh dilakukan pemilik kolam ikan hiasan bagi memastikan elemen dekorasi ini kekal menarik:

1. Memasang sistem penapisan yang bersesuaian dengan keadaan kolam

Pemasangan sistem penapisan kolam yang bersesuaian penting untuk memastikan kebersihan dan kejernihan air kolam, sekali gus mengurangkan risiko air kotor dalam jangka masa pendek.

Dalam situasi berbeza, ada juga pemilik kolam ikan hiasan memasang sistem penapisan namun keadaan kolam masih juga kotor.

Dipercayai sistem penapisan yang diguna pakai mungkin tidak bersesuaian dengan kapasiti atau saiz kolam berkenaan.

Jika daya pemprosesan sistem penapisan terlalu rendah berbanding saiz kolamnya, pasti proses penapisan tidak begitu baik.

Disarankan anda mendapatkan khidmat nasihat daripada penjual supaya dapat membeli sistem penapisan yang tepat.

2.Pemberian makanan tidak berlebihan

Memberi makanan pada ikan hiasan dengan kuantiti secukupnya dapat membantu pemilik kolam mengekalkan kebersihan dan kejernihan air kolam.

Pemberian makanan ikan secara berlebihan menjadi satu faktor utama kebersihan kolam ikan hiasan. Sisa makanan yang berlebihan ini akan mendap di dasar kolam sekali gus mempengaruhi kualiti air. Selain itu, makanan yang tidak dimakan ikan juga berisiko menjadi racun kepada peliharaan.

3. Pembersihan kolam secara berkala

Kedudukan kolam ikan hiasan ini selalunya berada di kawasan yang terbuka sekali gus mendedahkannya kepada sampah seperti daun kering dan debu.

Proses pembersihan sampah ini bukanlah satu kerja mudah, jadi pemilik perlu melakukan rutin ini secara berkala sama ada sekali sehari atau sekali untuk tempoh dua hari.

Dinasihatkan proses pembersihan ini dilakukan dengan segera kerana dibimbangi himpunan daun kering yang jatuh ke dalam kolam akan membuatkan air kolam lebih cepat tercemar.

4. Menggantikan kuantiti air secara berskala

Meskipun kadar kejernihan air kolam nampak bersih, pemilik seharusnya menukar kuantiti air secara berskala.

Ini kerana semakin air tidak ditukar semakin berisiko ikan peliharaan mati kerana sisa makanan ataupun najisnya yang bertukar menjadi racun.

5. Memelihara binatang pelbagai fungsi

Terdapat pelbagai jenis hidupan air yang bertindak sebagai pembersih kolam atau akuarium secara semula jadi apabila menjadikan lumut dan sisa sebagai makanan.

Antara jenis ikan adalah ikan bandaraya (Hypostomus plecostomus), Chinese alga rater, Siamese alga eater, Otocynlus afinis, Homaloptera orthogoniata dan Cory doras.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 8:43pm
d