dekotaman

Pantau tempat tersorok

Oleh Hafiz Ithnin

HUJUNG minggu adalah masa paling tepat untuk kita melakukan kerja pembersihan keseluruhan rumah. Ini kerana proses pembersihan secara besar-besaran bukanlah tugas yang mudah, alangkah baiknya ia dapat dilakukan bersama ahli keluarga lain.

Sebaik-baiknya, pembahagian tugas pembersihan di lokasi tertentu membolehkan kita menjimatkan masa dan mengelakkan proses mengemas dilakukan berulang kali.

Namun, kita sering memberi tumpuan pada kerja pembersihan kediaman di lokasi yang terbuka seperti lantai, kipas mahupun perabot dan ‘terlupa’ beberapa lokasi yang tersorok sekali gus membuatkan anda terlepas pandang untuk membersihkannya.

Bawah kusyen sofa

Sofa menjadi tempat tumpuan ahli keluarga dan tetamu. Kadang-kala, ia

juga menjadi pengganti tempat makan, terutama bagi si kecil. Maka, di bawah kusyen sofa anda juga tidak mustahil menjadi tempat pengumpulan sampah dan habuk.

Tidak hairan juga di situ juga terdapat bahan yang berbahaya kepada tetamu seperti jarum atau pin yang terjatuh dan terselit antara kusyen sofa.

Jadi, jangan terlepas pandang untuk mengangkat kusyen kusyen ini ketika melakukan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Pendingin hawa

Jika secara tiba-tiba pendingin hawa anda tidak lagi mengeluarkan angin sejuk, mungkin satu faktornya adalah anda terlupa membersihkan penapis di dalamnya sedangkan ia perlu dicuci setiap bulan.

Pembersihan habuk dan kotoran pada penapis pendingin hawa tidak sukar dan boleh dilakukan sendiri.

Jangan pandang remeh kerja penyelenggaraan pendingin hawa ini, silap hari bulan air dari alat ini boleh banjiri lantai gara-gara gagal berfungsi.

Tanaman hiasan plastik

Ada antara kita yang gemar memiliki pelbagai tanaman hiasan untuk menyerikan ruang kediaman. Bagi memudahkan aktiviti menghias rumah dengan tanaman hiasan, pastinya jenis tiruan menjadi pilihan.

Tumbuhan hiasan plastik ini menjadi lokasi ‘popular’ untuk mengumpul habuk sama ada di celah daun atau kelopak bunganya.

Bagi ahli keluarga atau tetamu yang mengalami asma atau sensitif pada habuk, pastinya berasa tidak selesa sekiranya terdapat habuk pada tumbuhan hiasan plastik anda. Paling menakutkan apabila ia diletakkan di atas tempat yang sering menjadi tumpuan seperti meja makan atau meja kopi.

Justeru, sentiasa lihat tumbuhan tiruan yang ada di dalam rumah anda. Lap pokok itu menggunakan kain basah atau pencuci khas. Jangan jadikan rumah anda tempat yang menyebabkan masalah kesihatan kepada orang lain!

Permaidani

Permaidani juga berkemungkinan menjadi sarang pengumpulan habuk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sebelum menghamparkan permaidani yang sudah lama tidak digunakan, lebih baik ia dibersihkan terlebih dahulu. Anda boleh membasuhnya atau menghantar ke kedai untuk dicuci. Jangan pula hanya cantik tapi berhabuk, anda dan tetamu juga boleh sakit.

Tandas

Pemilik kediaman perlu peka dengan keadaan tandas kerana ia mencerminkan keperibadian individu.

Jika tandas kering, pastikan ia sentiasa kering dan bersih serta dihiaskan dengan perhiasan sesuai.

Sebaik-baiknya, pastikan tandas rumah sentiasa wangi dengan meletakkan pewangi automatik atau yang mampu bertahan lama. Selain itu, sediakan tisu untuk tetamu yang menggunakan tempat privasi itu.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 8:51pm
d