dekotaman

5 rumah pintar tercanggih

Oleh Susunan Helmy Abd Rahman

ARKITEK kelahiran Switzerland, Le Corbusier (1887-1965) pada 1923 pernah menyifatkan, rumah adalah seperti ‘jentera yang boleh didiami.’ Ternyata kata-katanya itu sedikit demi sedikit menjadi realiti pada abad ke-20 apabila tenaga elektrik memudahkan segala kerja rumah contohnya mencuci pakaian dan pinggan mangkuk serta membersihkan lantai menggunakan penyedut hampagas.

Kini kita yang berada pada abad ke-21 sekali gus menyaksikan kediaman pintar yang mampu dikendalikan secara automatik, dapat direalisasikan.

Di serata dunia, rumah pintar menggunakan peranti dilengkapi Internet dan membolehkan pengguna memantau serta menguruskan pelbagai kelengkapan selain sistem contohnya pencahayaan.

Disenaraikan lima rumah pintar paling canggih di seluruh dunia :

1. THE HELIOTROPE, FREIBURG, JERMAN

Menurut Rolf Disch SolarArchitektur, firma arkitek berpangkalan di Jerman, The Heliotrope kediaman pertama di dunia yang mampu menjana lebih banyak tenaga berbanding digunakan.

Dilengkapi panel solar bersaiz besar dan diletakkan di pelbagai arah pada bumbung bangunan itu dapat menyerap pergerakan matahari bagi mendapatkan bekalan tenaga elektrik terbaik.

Bahagian atapnya mampu mengumpul dan menapis air hujan manakala sistem pelupusan buangan manusia menghasilkan pepejal kering tanpa bau yang dapat dikompositkan.

Sisa cecair yang sudah ditapis disalurkan ke kolam renang yang terletak di halaman rumah.

2. SHAPE-SHIFTING APARTMENT, MATOSINHOS, PORTUGAL

Pereka di Consexto, firma arkitek di Portugal menyelesaikan masalah kekurangan ruang, bukan dengan penggunaan perabot, sebaliknya memperkenalkan kaedah menggunakan dinding yang mampu dialihkan secara automatik dan menjadi sebahagian daripada susun atur rumah dibina mereka.

Satu daripada dua ruang kamar boleh diperluaskan dengan dinding bergerak itu untuk pelbagai tujuan contohnya parti makan malam atau menonton filem beramai-ramai pada lewat malam.

Bosan dengan susun atur sedia ada? Hanya tekan suis dan rumah itu dapat ditransformasikan di depan mata anda.

3. LA LA LAND HOME THEATER, CHINO HILLS, CALIFORNIA

Mengambil masa perjalanan 45 minit dari Hollywood, rumah agam ini mempunyai lima kamar tidur dan tujuh bilik air. Paling istimewa, pemiliknya menghabiskan AS$675,000 (RM2.8 juta) untuk membina ruang teater yang dikuasakan sistem berteknologi tinggi JBL Synthesis.

Anda boleh menyaksikan cerita kegemaran sambil berbaring di atas kerusi kulit. Di bahagian siling pula dihiasi lakaran bintang yang kelihatan berkelip-kelip menggunakan lampu LED.

Kediaman ini juga dilengkapi sistem automasi yang membolehkan anda mengawal pencahayaan, televisyen dan sebagainya.

4. THE GATES' HOME (LAKE WASHINGTON, WASHINGTON, AMERIKA SYARIKAT)

Pengasas Microsoft yang juga antara individu paling kaya di dunia, Bill Gates dan isterinya, Melinda 'membawa' teknologi ke rumah agam mereka di Lake Washington.

Ia mempunyai jalan masuk, lantai dan laluan pejalan kaki yang dipanaskan secara automatik bagi memberi keselesaan kepada pasangan itu dan tetamu mereka, tidak kira pada musim apa pun, sepanjang tahun.

Dindingnya dilengkapi panel skrin sesentuh yang memberi panduan kepada pengguna untuk 'menjelajah' kediaman seluas 20116.8 meter persegi itu.

Panel itu dapat diaktifkan pin yang dipakai orang yang mendiami rumah agam itu dan tetamu. Pin itu juga sudah diprogramkan dengan pilihan muzik digemari, suhu, cahaya dan pelbagai ciri lain.

Lebih menakjubkan, kolam renang yang terdapat di situ mempunyai sistem muzik dalam air dan boleh disesuaikan mengikut kehendak.

5. HARBOUR HIDE (DORSET, UNITED KINGDOM)

Dengan kos AS$6 juta (RM24.7 juta) rumah berbentuk bulat di tepi pantai ini mempunyai tablet dikuasakan sistem operasi Android di setiap bilik yang mampu mengawal suasana, pencahayaan dan suhu.

Sistem yang disediakan juga dapat mengawal sistem hiburan, langsir dan tirai. Malah kaca fotokromik yang digunakan sebagai tingkap, boleh digelap atau dicerahkan bergantung kepada keadaan di luar.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 6:00am
d