dekotaman

'Makhluk asing' menari atas bangunan

Oleh Susunan Helmy Abd Rahman

APPLE berkolaborasi dengan Muzium New di New York untuk melancarkan siri pengalaman realiti terimbuh (AR) yang bakal menyaksikan hasil karya maya berskala besar bagi menghiasi ruang beberapa bandar raya utama dunia.

Digelar [AR]T, AR itu menampilkan karya tujuh seniman dipilih sendiri Muzium New yang akan ‘muncul’ di London, San Francisco, New York, Paris, Hong Kong dan Tokyo.

Pameran maya itu ditawarkan secara percuma untuk disaksikan orang ramai di kedai Apple merentasi dunia mulai 10 Ogos ini.

Seniman yang terbabit terdiri daripada Nick Cave, Nathalie Djurberg dan Hans Berg; Cao Fei, John Giorno, Carsten Hˆller serta Pipilotti Rist.

Antara karya yang bakal dipamerkan ialah makhluk menyerupai makhluk asing yang boleh dikesan menari di atas bangunan dan portal ke ‘dunia’ lakaran tanpa perspektif .

Kumpulan seramai 10 orang akan diberikan iPhone yang disertakan dengan aplikasi [AR]T dan set fon kepala sebelum dibawa oleh wakil Apple ke segenap pelosok bandar raya yang terbabit.

Sepanjang sesi berkenaan yang memakan masa antara lima ke 10 minit, peserta akan bertemu enam karya interaktif di tempat tumpuan awam antaranya di Trafalgar Square London atau Grand Army Plaza New York di Central Park.

Pengarah Muzium berkenaan, Lisa Phillips berkata, peserta juga dibenarkan mengambil gambar dan video imej seni kecerdasan buatan (AI) sepanjang mengikuti acara itu.

“Muzium New sentiasa menjadi peneraju dalam karya menggabungkan seni dan teknologi dan tiada rakan kolaborasi yang lebih baik selain Apple untuk memberi sokongan visi menakjubkan seperti yang dihasilkan seniman ini.

“AR adalah medium bersesuaian bagi penceritaan visual dan dinamik yang boleh membantu mengembangkan bakat mereka di luar studio atau galeri,” katanya.

Setiap seniman menggunakan AR untuk membayangkan semula atau mencipta cara baharu untuk mengekspresikan tema teras dalam karya masing-masing.

Karya Djuberg dan Berg yang bertajuk ‘This Is It’, memperkenalkan anda kepada dunia kisah dongeng menerusi makhluk ajaib di dalam pokok berlubang, manakala karya Giorno bertajuk ‘Now at the Dawn of My Life’ pula mempersembahkan frasa perkataan yang terapung di udara.

‘International Liquid Finger Prayer’ iaitu karya Rist, mengundang peserta untuk mengejar bentuk berwarna-warni dan berkilauan.

Peserta juga bakal menerima tunjuk ajar dalam kedai selama 90 minit menerusi [AR]T Lab yang mengajar asas AR menggunakan aplikasi Swift Playground.

Malah pengunjung juga boleh melawat kedai Apple di seluruh dunia untuk merasai pengalaman menyaksikan seni instalasi AR yang dihasilkan Nick Cave.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 8:43am
d