dekotaman

Inspirasi gerakan Bauhaus

Oleh Helmy Abd Rahman

KINI genap 100 tahun sejak gerakan Bauhaus diasaskan. Walaupun hanya bertahan 14 tahun, legasi Bauhaus membawa pengaruh besar terhadap bidang seni bina, seni halus, grafik, hiasan dalaman, rekaan industri dan tipografi sehingga masa kini.

Gerakan Bauhaus tercetus apabila seorang arkitek bernama Walter Gropius mengasaskan kolej The Staatliches Bauhaus atau lebih dikenali Bauhaus yang menggabungkan seni kraf dan seni halus dalam rekaan dengan falsafah ‘bentuk menuruti fungsi,’ selepas Perang Dunia Pertama pada 1919 di Weimar, Jerman.

Bagaimanapun atas desakan Nazi yang menguasai Jerman tidak lama kemudian, kolej itu terpaksa ditutup pada 1933 menyebabkan penggerak utamanya iaitu Gropius, Ludwig Mies van der Rohe dan Marcel Breue terpaksa melarikan diri ke negara lain.

Berikut disenaraikan enam rekaan diinspirasikan daripada gerakan Bauhaus yang ‘merubah’ cara kita melihat dunia:

1. Muzium Bauhaus Weimar, Jerman

Bauhaus berpindah antara tiga lokasi di Jerman ketika kewujudannya, namun tempat kelahiran gerakan ini adalah di Weimar iaitu antara 1919 hingga 1925. Dalam manifesto ketika mengasaskan Bauhaus, Walter menyeru warga kolej berkenaan untuk menyatukan semua disiplin seni termasuk seni bina, arca dan lukisan catan dalam berkarya.

Hasil kerja mereka kini mengisi ruangan Muzium Bauhaus Weimar. Walaupun bukan antara penggerak Bauhaus, muzium yang direka Georg Muche itu adalah yang pertama dibina menggunakan gaya seni bina Bauhaus.

2. Kerusi Breuer

Ia direka Marcel Breuer pada 1926 dan dilihat sebagai revolusi dalam rekaan pada zaman itu kerana menggunakan gabungan tiub besi yang dilentur dan kulit. Hanya pada 1980-an rekaan kerusi ini ditiru pereka era berkenaan dengan diberi nama baharu iaitu Kerusi Wassily bagi tujuan pemasaran.

3. Kilang Fagus di Alfeld, Jerman

Kilang Fagus antara kerja seni bina moden terawal dan projek pertama Walter yang dibina pada 1911. Ia menampilkan falsafah Bauhaus yang diperjuangkan Walter iaitu menggabungkan karya seni dan kraf. Bangunan ini dibina dengan dinding tirai kaca dan keluli serta tingkap sudut bebas sokongan.

4. Muzium Seni Zentrum Paul Klee di Bern, Switzerland

Bersama-sama teman baik yang juga jirannya, Kandinsky, artis kelahiran Switzerland, Paul Klee adalah ‘guru’ paling lama berkhidmat di Bauhaus.

Ketika zamannya mengajar di Bauhaus antara 1921 hingga 1931, Klee lebih menekankan aspek teoritikal.

5. Teko Brandt

Ia direka Marianne Brandt pada 1924 dengan rekaan muncung yang disifatkan bijak untuk memudahkan tuangan dan pada masa sama mempunyai sudut geometri yang dhasilkan secara teliti.

6. Lampu Wagenfeld

Rekaan ini mudah sahaja iaitu lampu dipasang pada silinder gelas dan tapak yang mempunyai ciri-ciri terkenal dalam setiap rekaan gerakan Bauhaus iaitu garisan bersih dan lembut. Lampu meja ini direka oleh Wilhelm Wagenfeld pada 1924 dan menjadi pilihan ramai termasuk Walter yang meletakkannya di pejabatnya di Weimar, Jerman.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 5:00am
d