dekotaman

Rumah jubin 3D

Oleh Zaitie Satibi

TIDAK menyenangi bahagian kosong di belakang kediamannya mendorong seorang pemilik di kawasan kejiranan Clapham di London membuat ubah suai sekali gus membesarkan ruang dapurnya.

Mengupah studio seni bina Proctor & Shaw, arkiteknya memilih jubin tiga dimensi (3D) bersudut untuk mewujudkan tekstur di dalam dan luar ruang penyambungan kediaman yang diubah suai itu. Disebabkan keunikan jubin 3D yang dipasang, kediaman itu turut digelar Rumah Jubin.

Penyambungan lama diruntuhkan untuk mendirikan dinding kaca yang juga sebahagian dapur pelan terbuka bersama ruang makan. Dinding kaca itu sebahagiannya melitupi jubin 3D yang dicirikan dengan bentuk segi tiga di permukaan luar dengan sudut berbeza.

Setiap bentuk itu disusun dengan arah berbeza secara berselang-seli membentuk irama bayang dan tekstur, manakala jubin yang lebih kasar disusun berulang dan dipasang pada meja makan di dalam dapur.

“Jubin di bahagian dalam ini dibezakan dengan permukaan bercorak bagi menambah kesan lebih lembut pada perabot manakala jubin polos untuk bahagian luar bagi melindungi perabot,” menurut jurucakap studio.

Kayu oak juga digunakan untuk membina kabinet di dapur, selain membuat bangku panjang berhampiran meja makan. Papan lapis yang dilaminasi disusun dalam bentuk memanjang pada siling di bahagian penyambungan dan jendela berbentuk L membantu memberi lebih pencahayaan kepada ruang.

“Susunan begini membolehkan struktur bumbung yang bersambung kelihatan terawang-awang daripada dinding. Jubin lantai porselin berbentuk segi empat panjang juga dipasang pada lantai menyerupai garis lurus papan di atasnya.

“Dinding berpanel kayu di ruang belakang diberi sentuhan warna merah jambu pucat untuk mewujudkan latar belakang berlawanan dengan warna sofa kelabu yang disusun rapat. Ia membantu menyembunyikan barangan di koridor sempit dan di ruang masuk dapur,” tambah jurucakap.

Proctor & Shaw diketuai sekumpulan arkitek, John Proctor dan Mike Shaw sejak 2018. Studio tempatan ini turut membuat kerja pengubahsuaian di selatan London pada Mei lalu dengan kediaman berasaskan kayu untuk pemiliknya yang juga pesara berehat sambil membaca atau melihat burung.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 5:20am
d