dekotaman

Rumah pokok di hutan terpencil

Oleh Susunan Nurul Husna Mahmud

STUDIO seni bina Precht melancarkan Bert iaitu sebuah rumah pokok modular dengan tingkap bulat besar yang direka untuk menjadikannya seolah-olah karakter animasi mata tunggal dari

pada filem Minions.

Pengasas studio terbabit iaitu pasangan suami isteri Chris Pecht dan Fei Tang Pecht merancang sistem rumah modular itu bagi memulakan projek rumah mikro, Baumbau.

Bert bakal tampil dengan rekaan membulat, selain sel modular berbentuk tiub yang menempatkan pelbagai ruang termasuk ruang tamu, dapur, bilik tidur dan bilik mandi, boleh dipadan di sekelilingnya bercirikan pokok bercabang.

Menzahirkan persekitarannya yang dekat dengan alam, rumah pokok itu bakal diperbuat daripada material kayu, selain perincian landskap berupa pokok hijau yang berperanan sebagai dedaun.

Uniknya dalam rekaan ini turut dimuatkan pelan alternatif iaitu panel solar akan dipasang di bumbung dan tandas kompos di aras tanah. Ia sesuai dengan cadangan kawasan pembinaan rumah itu di hutan terpencil yang terhad akses kepada kemudahan asas.

Rekaan dalaman pula menekankan konsep redup dan selesa dengan hanya menjadikan tingkap panel bulat besar, selain balkoni sebagai sumber pencahayaan bagi menikmati pemandangan landskap sekitarnya.

“Kami cuba lari daripada inspirasi tipikal iaitu mengambil elemen seni bina berdasarkan falsafah, kesusasteraan atau budaya setempat. Bert adalah ilham daripada karakter kartun.

“Untuk projek ini, kami melihat seni sebagai mencari rujukan menerusi watak kartun Sesame Street atau Minions.

“Rupanya seperti karakter orang suruhan kecil berwarna kuning memakai kaca mata khas yang membintangi siri filem komedi kanak-kanak animasi komputer Despicable Me. Sementara nama projek dipetik daripada watak boneka dalam siri pendidikan Sesame Street,” kata Chris.

Pasangannya, Fei pula mengakui dalam memulakan rekaan untuk rumah modular berbentuk pokok itu ibarat meneroka kembali ‘jiwa kanak-kanak.’

“Ketika memulakan proses reka bentuk Bert, kami membayangkan lukisan rumah pokok. Sebagai arkitek, tidak kira sama ada muda atau tua, kami ada naluri kanak-kanak yang melihat dunia ini sebagai taman permainan dan perlu diteroka.

“Didorong rasa ingin tahu itulah yang melahirkan rekaan Bert ini,” katanya.

Idea mengenai struktur rumah ini juga berkonsepkan pasang siap di mana ia sudah mempunyai bentuk tertentu dan boleh disambung untuk pengembangan unit baik dari segi rumah atau ruang.

Fei turut mencadangkan Bert dijadikan hotel jika ia bukan sebuah kediaman keluarga.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 9:07am
d