dekotaman

Struktur ikonik bandar Izmir

Oleh Susunan Nurul Husna Mahmud

JAMBATAN dilihat sebagai struktur binaan penting sebagai laluan melintasi halangan seperti jurang, terusan, sungai mahupun laut.

Selain peranan itu, nilai tambah seperti aspek estetika pada binaan berkenaan boleh menjadi ‘bonus’ termasuk sebagai struktur ikonik mahupun lokasi tarikan di sesuatu tempat.

Tidak terkecuali jambatan Bostanli di Karsiyaka, Turki yang melintasi Sungai Bostanli antara struktur ikonik pada bandar Izmir yang dikenali dengan keindahan pantai selain bandar pelabuhan.

Bukan sekadar jambatan untuk melintasi sungai, struktur itu kini menjadi pusat sosial komuniti setempat bagi kegiatan riadah pagi atau petang.

Binaan sendeng seakan-akan kerusi malas menghadap pemandangan Pantai Aegen Turki pada sisi jambatan berkenaan membuatkan ia bukan sekadar perincian unik malah mempunyai fungsi tambahan sebagai tempat duduk.

Pemandangan matahari terbenam dan menikmati bayu petang antara yang dapat pengunjung manfaatkan sambil duduk pada kerusi santai yang dibina itu.

Rekaan jambatan itu dilakukan firma tempatan, Steb/Studio Evren Basbug menampilkan beberapa seksyen binaan termasuk dua bahagian yang unik ialah struktur jambatan itu sendiri selain Bostanli Sunset Lounge.

Antara keunikan kedua-dua elemen ini ialah perincian material kayu melengkapkan pemandangan senja yang menghadap persisiran pantai berkenaan.

Mengenai binaan Bostanli Sunset Lounge pula, dataran dengan rekaan cerun tiruan dilitupi pokok dan benteng daripada material sama membuatkan kedua-duanya mempunyai hubungan sinergi harmoni.

Lokasi ini antara ‘port’ kegemaran untuk bersantai menjelang matahari terbenam dalam kalangan penduduk tempatan dan hanya terletak bersebelahan struktur jambatan unik berkenaan.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 5:00am
d