dekotaman

Kolam renang pelengkap landskap

Oleh Nurul Husna Mahmud

KALAU 20 tahun yang lalu untuk memiliki kolam mandi atau renang dalam kediaman biasanya hanya boleh dilihat pada banglo mewah atau rumah agam bergaya eksklusif.

Ini kerana untuk memiliki kolam renang, biasanya membabitkan perbelanjaan tinggi bukan saja kos pembinaan dan penyelenggaraan kolam berkenaan tapi juga bil air yang perlu dibayar setiap tahun.

Namun kebelakangan ini, trend landskap tanpa mengira jenis kediaman menjadikan kolam renang peribadi sebagai tatarias ruang laman.

Apatah lagi mereka yang mengimpikan konsep gaya Inggeris atau mahu ciri kedesaan Eropah, kolam renang antara senarai perlu ada sebagai pelengkap landskap.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pool Empire Sdn Bhd, Zairul Azren Zainal Abidin, peralihan ‘selera’ golongan pemilik kediaman terutama dalam kalangan mereka yang membina rumah bagi tujuan inap desa, kolam mandi atau renang keperluan.

Bagi mereka, kolam renang atau kolam mandi bukan saja memberi nilai tambah kepada estetika laman, keselesaan buat penginapnya apatah lagi mempunyai anak kecil yang sememangnya menyukai aktiviti mandi di kolam.

“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kami dapati yang mahukan kolam mandi untuk rumah mereka bukanlah daripada pemilik mempunyai rumah besar atau mewah.

“Ada yang datang daripada kumpulan berpendapatan sederhana, kediaman jenis teres saiz sederhana, membina kolam untuk kegunaan sendiri atau kediaman dijadikan inap desa atau rumah tetamu.

“Mungkin disebabkan gaya orang sekarang yang sukakan konsep kolam peribadi yang kurang risiko pencemaran dan ramai yang kami temui mahu bina kolam semata-mata nak mengamalkan konsep kolam renang mesra aurat,” katanya.

Tambah pula adanya material gentian jauh lebih murah selain penjagaan tidak rumit membuatkan idea kediaman mempunyai kolam bukanlah perkara yang mustahil.

“Saiz juga kini dipelbagaikan bergantung kepada keperluan pelanggan. Mitos lain mengenai penjagaan rumit, rasanya dengan teknologi betul dan penyelenggaraan berkala termasuk rawatan air menggunakan klorin, pemilik boleh kawal bajet mereka.

“Mengenai bil air ‘rabak’ kerana pada pemahaman pemilik, air kolam perlu diganti setiap bulan, pada saya kurang tepat kerana teknologi kolam ada sistem kawalan kitaran air sendiri.

“Bagi kolam yang ada komponen seperti pam kitaran, pam tapisan dan rekaan saliran membuatkan bil utiliti itu tidak melambung kerana air tidak perlu diganti setiap hari atau pun setiap bulan,” katanya.

Menyentuh estetika kolam, pilihan bentuk dan kemasan juga pelbagai mengikut konsep dan bajet pemilik kediaman.

“Perlu difahami lokasi antara ciri penting dalam pembinaan kolam,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 5:00am
d