dekotaman

Bagai dalam akuarium

Oleh Helmy Abd Rahman

PENGINAPAN percutian mewah ini benar-benar hebat apabila dibina berserta bilik suit dalam air yang kelihatan seakan-akan akuarium yang membolehkan tetamu menikmati pemandangan unik hidupan marin ketika menginap.

The Muraka iaitu villa percutian persendirian di resort Conrad Maldives Rangali Island di Maldives, direka arkitek tempatan, Ahmad Saleem yang berganding bahu dengan firma arkitek berpangkalan di New York, Yuji Yamazaki.

Di bahagian atasnya, terdapat ruang tamu, dapur dan ruang makan selain tiga bilik tidur.

Suit tambahan pula ‘terendam’ dalam air dan direka dengan dinding akrilik setebal tujuh inci (17.78 sentimeter) berbentuk cembung.

Laluan antara dua bilik lebih kecil untuk ke tandas dan bilik pakaian.

“Terdapat bentuk gerbang di bahagian bilik tidur yang membolehkan tetamu berbaring dan melihat ikan di atas kepala. Di bahagian ruang tamu, terdapat gelas cembung mendatar yang membolehkan tetamu berdiri dan merasai seolah-olah menjadi sebahagian daripada lautan,” jelas Ahmad.

Yuji yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan hiasan dalaman The Muraka, memilih estetika gelap dan murung dengan hiasan kulit serta lantai permaidani.

Di dalam bilik pula, beliau meletakkan kerusi panjang dan kepala katil yang dilekatkan pada dinding.

“Hiasan dalaman dan kebanyakan kemasannya diinspirasikan daripada kabin mewah pesawat.

Setiap bahagian dalaman diukur, dibentuk dan dipasang dengan cermat serta teliti,” kata Yuki.

Langsir gelap direka khas untuk menghalang sepenuhnya sinar matahari dan disifatkan Ahmad antara aspek paling mencabar dalam projek pembinaan bangunan ini.

Pasukan pereka juga menyediakan laluan kebakaran dan butang panik yang menghantar isyarat ke resort utama sekiranya berlaku kes kecemasan.

Ahmad yang sebelum ini menjadi pemilik Conrad Maldives Rangali Island, menggunakan khidmat jurutera dan pakar teknologi akuarium, Mike Murphy untuk membina suit yang berat dan mampu berada dalam air.

Penyelesaiannya adalah dengan membina tiga bahagian yang boleh dicantum dan menghantarnya ke lokasi terbabit menggunakan tongkang sebelum dikimpal untuk dicantumkan.

Struktur seberat 600 tan itu diangkat menggunakan kren dan diletakkan ke dalam air dan ‘diikat’ dengan cerucuk simen.

Berbeza dengan bahagian bawah, bahagian utama dihiasi dengan warna palet cerah termasuk dinding bercat putih, kelabu dan lantai marmar serta kayu gelap.

Pintu gelongsor kaca luas menawarkan pemandangan laut dan di luarnya terdapat dek kayu yang membolehkan tetamu terjun terus ke dalam laut.

The Muraka yang bermaksud terumbu karang, siap dibina tahun lalu dan boleh disewa pada kadar AS$22,000 (RM91,757) semalam pada waktu puncak.

Sewaan turut membabitkan perkhidmatan cef bagi menyediakan makanan untuk tetamu dan kapal persendirian untuk meneroka pulau berkenaan.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 5:00am
d