dekotaman

Kediaman biasa tampak mewah

Oleh Helmy Abd Rahman

MENGIKUT falsafah Cina, ‘Yin dan Yang’ adalah konsep berpasangan apabila dua hal berlawanan sebenarnya mampu bertaut, saling berkait serta menyokong antara satu sama lain.

Dalam hal hubungan manusia pula, sering kita dengar pasangan yang mempunyai minat dan watak berlainan dapat hidup bahagia sehingga hujung usia, lebih-lebih lagi bagi yang tahu mencari titik imbang dalam perbezaan antara mereka.

Contoh ini dapat dilihat pada pasangan Nurul Dian Poadi, 31, dan suami, Noornazrul Ahyiar Othman, 34. Kedua-duanya mempunyai cita rasa berbeza dalam memilih warna kegemaran, namun ia dapat diatasi secara bijak dengan diterjemahkan dalam hiasan dalaman kediaman mereka.

“Saya menggemari warna putih yang nampak kemas dan lembut, manakala suami pula sukakan rona hitam, jadi kami sepakat mencari jalan terbaik untuk gunakan kedua-dua warna ini.

“Dengan menggunakan warna putih yang menghiasi sebahagian besar rumah, kami imbangi dengan warna hitam untuk dekorasi, contohnya sofa, lampu dan rak dinding,” kata Nurul Dian yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.

Agak mengagumkan apabila pasangan ini berjaya mentransformasikan rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga kelihatan elegan dan punya kelas tersendiri.

Malah, seakan-akan tidak percaya apabila segalanya dirancang dan dibuat sendiri tanpa bantuan pakar, lebih-lebih lagi pasangan ini tidak punya pengalaman dalam bidang seni bina dan hiasan dalaman.

Meskipun hanya berkeluasan 650 kaki persegi (60.4 meter persegi) dan dihias secara ringkas, rumah pasangan ini amat menawan, umpama ruang kediaman di pangsapuri mewah.

“Sebelum dapat rumah ini (awal 2018) lagi, saya suka melihat hiasan dalaman dalam Instagram dan FB (Facebook), antaranya halaman ‘Whitescandiliving.’

“Saya juga suka lihat hiasan IKEA dan majalah cara susun letak perabot dan dari situ saya mula pasang impian dan bila dapat rumah, saya hias dengan diinspirasikan daripada halaman media sosial.

“Saya dan suami memilih konsep Scandinavia dan moden dengan warna hitam serta putih. Kami hias seringkas yang boleh dan tidak gunakan banyak perabot tambahan pula rumah kami kecil, jadi dengan cara itu dapat jimatkan ruang,” katanya.

Tambah ibu kepada dua anak perempuan masing-masing berusia tiga tahun dan sembilan bulan ini, kos keseluruhan mentransformasikan kediamannya itu berjumlah RM25,000 iaitu termasuk kerja pendawaian, beli kabinat dapur dan pasang lantai mozek.

“Tapi bukan buat sekali gus, sebaliknya saya beli sikit demi sikit, contohnya kabinet televisyen ini saya kumpul duit baru dipasang. Begitu juga meja makan dan perabot lain.

“Kami juga cat sendiri rumah ini. Ketika itu anak kedua belum lahir jadi kurang sedikit susahnya. Memang penat, tapi kami amat gembira dan puas hati dengan hasilnya.

“Saya dan suami tiada latar belakang dalam seni bina atau hiasan dalaman, tetapi saya ada diploma dalam rekaan grafik, jadi sedikit sebanyak tahu juga memilih warna untuk hiasan.

“Lagi satu, sebab dah terbiasa sentiasa nak tengok rumah cantik, kemas dan teratur serta ada konsep, bukan buat sembarangan kerana itu saya dapat motivasi hias rumah ini.

“Kalau anak sepahkan rumah perkara normal, tapi saya ajar mereka supaya kemas semula barang dan bila makan, mesti di meja makan atau kalau makan di lantai kena kemas dan lap semula lantai.

“Saya juga pastikan lantai dimop sekurang-kurangnya dua minggu sekali dan untuk elakkan habuk melekat pada lantai dan bahagian lain, saya sapu sampah selang sehari,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 5:20am
d