dekotaman

Bentuk persekitaran lebih hijau

Oleh Zaitie Satibi

TANAMAN renek berbunga, rimbun dan padat seperti Streblus asper (Bonzai Kesinai), Codiaeum variegatum (Puding), Heliconia americana (Heliconia) dan Canna hybrid red menjadi pilihan Canon Marketing Malaysia (Canon) untuk memperindahkan Taman Tasik Shah Alam, Selangor menerusi program One Canon One Tree, baru-baru ini.

Program tahun keempat berturut-turut itu diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk meningkatkan usaha dalam membentuk persekitaran yang lebih hijau membabitkan 2,050 pokok tanaman landskap berkenaan termasuk Heliconia psittacorum ‘Lady Di’ (Lady Diana), Canna hybrid orange dan Annona muricata (Durian Belanda).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon, Andrew Koh berkata, program One Canon One Tree itu antara langkah Canon melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pengguna dan masyarakat, selari dengan usaha pelestariannya bagi memberi manfaat kepada komuniti tempat ia beroperasi.

Katanya, MBSA menerusi program Shah Alam Trees for Life 2019 berusaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar yang lebih hijau dan berstatus Bandar Karbon Rendah menjelang 2030 dengan membentuk bandar dalam taman untuk komuniti.

“Program tanam pokok itu dianjurkan menerusi kerjasama dengan syarikat swasta dan kami meneruskan kerjasama dengan MBSA berdasarkan matlamat yang sama iaitu mengurangkan kesan karbon, meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab dalam memulihara alam sekitar dalam kalangan masyarakat kita.

“Kami juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan MBSA sekali lagi dalam inisiatif penghijauan jangka panjang ini sementara mengorak langkah untuk memulihara alam sekitar. Kelestarian adalah agenda yang penting dalam segala usaha Canon dan kami yakin semua usaha kami pastinya akan memberi manfaat kepada generasi masa depan,” katanya.

Koh berkata, pembabitan Canon dalam usaha murni ini adalah selari dengan falsafah Kyosei yang menseimbangkan tanggungjawab syarikat terhadap komuniti dan alam sekitar dengan kepentingan perniagaannya serta berusaha demi kebaikan bersama.

Selain menghasilkan produk pengimejan yang berkualiti dan berteknologi tinggi, Canon turut melabur untuk memastikan alam sekitar kekal terpelihara demi kesejahteraan masyarakat.

“Impak tindakan kami hari ini boleh dijangka berdasarkan falsafah Kyosei dan kami yakin dapat melaksanakan peranan untuk memberi impak positif kepada masa depan.

“Kami juga berharap dapat memberi inspirasi kepada semua orang di sekeliling kami untuk bersama-sama memulihara alam sekitar demi menjadikan persekitaran kita satu tempat yang lebih hijau untuk dihuni bukan sahaja untuk hari ini, tetapi buat generasi akan datang,” katanya.

Acara tanam pokok itu disertai 460 orang terdiri 300 warga kerja dan ahli keluarga kumpulan syarikat Canon iaitu Canon Opto dan Canon Mailcom, warga kerja MBSA, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari 2 dan sukarelawan.

Canon turut menyerahkan cek bernilai RM25,000 kepada MBSA sebagai janji komitmen terhadap program Shah Alam Trees for Life 2019. Secara keseluruhan, Canon menanam lebih 6,000 pokok di kejiranan Shah Alam membabitkan Setia Alam, Bukit Jelutong dan Seksyen 4.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon MailCom Malaysia, Chris Martin dan Pengarah Urusan Canon Opto Malaysia, Takeshi Saotome.

Pokok dan pepohon renek yang ditanam akan membantu ekosistem sekeliling dengan menarik dan menyediakan satu habitat yang kondusif buat pelbagai spesies burung dan serangga.

Malah pokok yang dipilih khas ini juga diyakini dapat mencantikkan dan menceriakan kawasan terbabit, di samping menawarkan tempat teduh untuk pelbagai aktiviti riadah.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 5:01am
d