dekotaman

Interpretasi idea dari luar negara

Oleh Nurul Husna Mahmud

MELANGKAH masuk ke kediaman Wan Salfarini Wan Hamat di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh, Selangor seolah-olah menyusuri terowong masa sebaik melihat perincian perabot klasik seperti rotan dipadan bersama estetika moden, kayu dan besi.

Tidak pula kelihatan janggal, sebaliknya eksperimen suai padan dilakukan jurutera berusia 35 tahun ini tampak sekata dan harmoni.

Walhal apabila diamati perabot atau aksesori yang ada, karakter setiap satunya lebih ‘individualistik’ atau tersendiri dan lebih ketara tidak seragam baik saiz mahupun gaya ditampilkan.

Sentuhan magis Wan Salfarini yang juga diistilahkan satu pendekatan berani itu sebenarnya bermula dengan penelitian konsep terlebih dahulu dan kali ini impian dia ialah mencipta gaya abad pertengahan moden atau ‘mid century modern.’

Ia berasaskan gaya pertengahan era 1950-an yang sederhana dan biasanya membantu menonjolkan visual ruang lebih luas selain penekanan motif geometri dalam corak dan potongan perabot mahupun aksesori hiasan.

Menurut Wan Salfarini, konsep abad pertengahan moden yang ditonjolkan dalam kediaman rumah teres dua tingkat itu adalah interpretasi diolah daripada beberapa idea diperoleh menerusi sampel hiasan dalaman dari luar negara.

“Sebelum ini konsep saya gunakan untuk hias ruang dalam rumah ini ialah gaya Scandinavia iaitu lebih ringkas, dipenuhi warna kontras hitam dan putih bersama sedikit elemen kayu.

“Kemudian baru-baru ini saya beralih kepada pilihan gaya abad pertengahan selepas mula rasa jemu dengan konsep sedemikian. Maklumlah selepas seharian bekerja, saya dan suami mahukan suasana atau ‘mood’ baharu untuk ruang dalam kediaman.

“Jadi saya mulakan kerja ubah suai ruang dalam rumah satu demi satu. Bermula dengan menukar meja utama di ruang makan kerana memikirkan ia terlalu besar sehingga mengganggu ruang tamu.

“Saya jual meja berkenaan dan cari meja berdasarkan konsep abad pertengahan moden. Untuk trend sekarang, meja permukaan kayu, tetapi dimodenkan dengan kaki meja diperbuat daripada logam hitam lebih sesuai.

“Namun untuk kerusinya, saya tidak beli daripada set yang sama. Saya gunakan pelbagai rekaan kerusi iaitu sebahagian adalah kerusi kayu dan sebahagian lain ialah rotan. Malah setiap kerusi rotan itu juga mempunyai rekaan yang berbeza,” katanya.

Kata Wan Salfarini, sudah menjadi kelaziman untuk setiap kerja menata hias ruang, dia akan memastikan membuat lakaran dan senarai keperluan terlebih dahulu supaya tidak berlaku pembaziran.

“Disebabkan konsep diguna pakai berasal dari luar negara, saya perlu lebih teliti membuat pencarian atau melawat kedai perabot tertentu untuk mencari padanan perabot mahupun aksesori hiasan yang diinginkan.

“Kalau tidak jumpa, saya akan tinggalkan ruang itu kosong terlebih dahulu dan cari

perabot atau aksesori lain. Contohnya untuk susun atur ruang tamu, lampu logam potongan melengkung antara yang paling awal saya beli.

“Kemudian diikuti perabot lain seperti kabinet televisyen dan meja konsol yang berbentuk potongan unik sesuai dengan gaya tahun 1950-an.

“Meskipun untuk dapatkan konsep perabot sebegini mahal, saya akan pastikan pembelian itu berbaloi selain benar-benar sesuai baik dari segi ukuran mahupun bersesuaian dengan konsep.

“Lagipun, tidak semua saya tukar serentak, sebaliknya secara sedikit demi sedikit. Malah sebelum sesuatu keputusan diambil, saya akan bincang dahulu dengan suami.

“Saya akan siapkan kertas cadangan dan bincang elemen mana yang akan dibawa masuk atau dijual dan sebagainya. Mungkin sebab itu juga suami menyokong kerana dia tahu saya tidak akan membuat pembelian sesuatu barang sembarangan melainkan ia berfungsi dan kena dengan tata hias ruang,” katanya.

Tidak lupa dalam rekaan itu juga Wan Salfarini turut mengintegrasi ruang dengan pemilihan warna natural selain penggunaan tumbuhan hiasan hijau bagi tujuan menyerikan ruang.

Ruang lain turut menarik perhatian ialah ruang dobi yang menggunakan elemen rumah ladang menerusi penggunaan bata merah serta jaring logam hitam sepadan penggunaan para putih dan aksesori kayu.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 6:10am
d