dekotaman

Resort terapung

Oleh Nurul Husna Mahmud

RESORT kebiasaannya dibina di kawasan pulau atau beting pasir lagun. Namun pendekatan unik diambil seorang usahawan Perancis, Eric Becker apabila mengapungkan resort dinamakan L’Óle Flottante menerusi 700,000 botol plastik.

L’Óle Flottante yang terletak di perairan Ivory Coast di Barat Afrika bukan sekadar ruang inap semata-mata, sebaliknya memiliki fasiliti seperti restoran, bar karaoke dan dua kolam renang.

Malah kedudukannya berhampiran ibu kota, Abidjan membuatkan pembinaan resort dengan konsep lestari itu berjaya dilaksanakan.

Pulau atau resort terapung itu boleh bergerak selain menerima bekalan air tawar dari tanah besar dan solar panel untuk jana elektrik.

Pada awalnya, Becker mahu pembinaan kapal layar daripada material botol plastik berkenaan namun berubah perancangan apabila mendapati ada lagun sesuai untuk pembinaan resort terapung itu.

Cabarannya ialah mengutip dan mengumpul seberapa banyak material yang boleh terapung sebagai asas atau pelantar utama. Ia termasuk botol, polisterin malah selipar pantai dan ada kalanya dia terpaksa membeli botol terpakai daripada penduduk bandar itu.

Dalam beberapa percubaan, Eric turut melakukan kajian termasuk mengira arah angin dan mencari kawasan di mana tempat sampah terapung dikumpulkan.

Malah dalam proses itu, dia tinggal terlebih dulu beberapa ketika sehingga kini ‘pulau’ terapung mempunyai keberatan sekitar 200 tan dibuka kepada pengunjung.

Meskipun rekaan pulau atau resort mengambil kira konsep lestari apabila mengetengahkan konsep eko iaitu mengitar semula penggunaan botol plastik, namun pengunjung yang datang masih meninggalkan sisa sampah untuk diuruskan termasuk kumbahan.

Sebelum ini kumbahan selalu dilepaskan ke lagun, sama seperti mana-mana kediaman atau tempat di Abidjan.

Eric kini menguji teknologi untuk menukar sisa domestik atau kumbahan dihasilkan resort terbabit kepada kompos untuk tumbuhan di pulau itu sebagai satu lagi inovasi berorientasikan lestari untuk masa depan perairan berkenaan.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 5:58pm
d