dekotaman

Landskap segar taman mini

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

MESKIPUN ruang tanah lapang hanya sekangkang kera, namun ia bukan masalah buat pengurusan SMK Muadzam Jaya (SEMMUJA), di pinggir Bandar Muadzam Shah, Pahang mencorak pembangunan landskap berekosistem alam yang kondusif.

Demi menjadikan SEMMUJA sebagai platform meningkatkan kesedaran kepada kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Antara langkah diambil ialah membina pelbagai taman mini di seluruh tanah lapang yang masih kosong.

Kewujudan taman yang dikhususkan untuk pokok ulaman tempatan yang dikenali sebagai Taman Paku Pakis nyata menjadi bualan dan mencuri perhatian setiap warga SEMMUJA dan sesiapa sahaja yang mengunjungi sekolah berkenaan.

Menurut Cikgu Nurul Huda Ngah yang juga guru subjek Prinsip Akaun SPM dan Bahasa Inggeris sekolah itu, wujudnya kepelbagaian taman diserikan dengan pelbagai tumbuhan tempatan sedikit sebanyak mampu menjadikan alam persekitaran SEMMUJA lebih segar dan mententeramkan jiwa.

“Persekitaran yang bersih dan indah berlatarkan pelbagai tanaman berkeupayaan menjadikan sekolah sebagai tempat yang sentiasa singgah di hati setiap warganya.

“Saya sendiri akui begitu teruja dengan wujudnya Taman Paku Pakis kerana selama ini saya hanya membeli ulam-ulaman di pasar sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SEMMUJA, Yahaya Tahir memaklumkan memang menjadi hasrat wujudnya persekitaran SEMMUJA sebuah lokasi pembelajaran yang kondusif dikelilingi landskap ekosistem menyaman.

“Alam sekitar yang terpelihara dengan baik berlatarkan pokok bunga dan buah-buahan

pastinya menjadi suatu nilai tambah dalam memberikan ketenteraman jiwa.

“Sekali gus membantu setiap warga sekolah untuk hidup dan menjalani aktiviti pekerjaan serta pembelajaran dalam persekitaran bersih.

Katanya, Taman Paku Pakis sebenarnya suatu yang bukan semata-mata untuk memperindahkan alam sekitar sekolah, tetapi dalam masa setiap murid SEMMUJA boleh mengetahui dengan jelas setiap pokok ulam-ulaman tempatan yang selama ini sudah terkenal sebagai bahan makanan digemari.

Ini membuktikan matlamat meningkatkan kesedaran mendalam dalam kalangan pelajar supaya menghargai setiap kurniaan Allah semakin mendapat tempat.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 6:10am
d