dekotaman

Rona malar segar

Oleh Hafiz Ithnin

APABILA memiliki kediaman baharu, kadangkala si pemilik berteka-teki untuk mengecat bagi kelihatan lebih menarik dan mampu menonjolkan suasana yang sesuai dengan selera mereka.

Meskipun 2020 dijangkakan warna bulat seperti kuning dan biru terang menjadi fokus kebanyakan pemain industri hiasan dalaman antarabangsa untuk menata rias kediaman tetapi sebenarnya warna putih masih mendapat perhatian si pemilik kediaman baharu.

Tona putih sebenarnya begitu luas mengenainya kerana walaupun terdapat pigmentasi seperti merah jambu atau biru pudar yang kelihatan lebih tone down berbanding warna asalnya lebih terang, ia juga dikategorikan sebagai putih.

Perkara itu diperincikan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Hafizal Mohd Isa yang turut melihat warna putih bagi mengecat kediaman adalah sesuatu yang malar segar.

Beliau berkata, jika melihat sekitar lima atau enam tahun ke belakang ini, konsep kediaman minimal atau industri menjadi pilihan dan kebanyakan pemilik memilih putih sebagai kanvas utama untuk menonjolkan elemen ringkas dimiliki mereka.

“Warna cat putih mempunyai pengikutnya tersendiri dan ia sentiasa menjadi pilihan ramai pemilik kediaman baharu kerana rona itu mampu menjadikan sesebuah kediaman tampak luas dan bersih.

“Tidak ketinggalan, warna itu menjadikan kediaman lebih mesra alam kerana pencahayaan dari luar yang masuk ke dalam lebih mudah terpantul, sekali gus menjadikan pemilik kediaman tidak perlu memasang lebih banyak lampu siling bagi menerangi ruang tertentu, katanya.

Pakar itu juga melihat, rona putih menjadikan sesebuah kediaman itu lebih sejuk dan tidak menyerap haba yang banyak berbanding menggunakan rona lebih gelap seperti hitam atau kelabu gelap.

Jelasnya, jika pemilik itu memilih untuk kediaman lebih tampak lestari dari segi mesra alam terutama membabitkan pengurangan tenaga elektrik, cat berwarna putih adalah pilihan yang terbaik.

“Dalam masa sama, warna putih adalah asas yang terbaik bagi pemasangan kertas dinding kerana ia lebih mudah untuk dipasang dan mengekalkan warna atau reka seni yang terdapat di atas kertas itu.

“Disebabkan itu, bagi pemasangan kertas dinding, biasanya pemilik dinasihatkan untuk mengecat bahagian itu dengan cat kapur putih kerana tidak mahu mengganggu kualiti kertas dinding berkenaan, katanya.

Hafizal berkata, bagi mereka yang gemar untuk menonjolkan perabot atau aksesori kediaman, rona putih juga adalah pilihan terbaik kerana ia mudah untuk menonjolkan sebarang elemen warna yang lain.

“Jika kita inginkan warna perabot yang lebih tampak ceria, pilihan cat dinding bewarna putih mudah untuk dipadankan kerana tona itu bersifat fleksibel dan paling penting sesuatu yang dibeli untuk melengkapkan kediaman mampu menonjol.

“Kadangkala apabila pemilik kediaman memilih cat yang berwarna-warni, agak sukar untuk mereka membuat keputusan yang cepat untuk membeli sesuatu perabot kerana khuatir ia tidak dapat mengharmonikan rona di dalam kediaman, katanya.

Bagaimanapun, pakar itu melihat cat bewarna putih juga mempunyai kekurangannya sendiri iaitu mudah tampak kotor dan pemilik perlu berhati-hati bagi memastikan dinding tidak

‘tersagat dengan perabot atau aksesori kediaman yang mampu meninggalkan warnanya kepada dinding.

“Bagi mereka yang mempunyai anak kecil juga perlu berhati-hati untuk mengecat dinding dengan warna putih kerana dikhuatiri, si kecil anda mempunyai 'lukisan' di permukaan itu.

“Namun, ketika ini terdapat pelbagai jenis cat yang berkualiti bagi cat dalam rumah iaitu mudah untuk dibersihkan dengan hanya mengelapnya sahaja.

“Bagaimanapun, jika keadaan dinding terlalu kotor disebabkan contengan yang menggunakan dakwat degil atau cat lain misalnya, dinding bewarna putih itu sukar juga untuk dibersihkan, katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 6:30am
d