dekotaman

Gaya rumah ladang

Oleh Nurul Husna Mahmud

LATAR putih dengan padanan kayu pada setiap penataan ruang bukan sahaja tampak luas, malah memberi gambaran cita rasa penghuni banglo empat bilik ini yang sukakan suasana sederhana kedesaan Inggeris.

Konsep minimalis ini tidak sarat, malah ‘sleek’ sepadan dengan pilihan gaya moden klasik yang menjadi penataan kediaman di luar negara sering dipapar dalam galeri aplikasi Pinterest.

Bezanya tidak perlu terbang jauh kerana mereka yang pernah berkunjung kediaman milik Nusaibah Ab Aziz ini boleh merasai sendiri ‘mood’ moden rumah ladang Inggeris atau ‘farm house’ berkenaan.

Kata Nusaibah, rumah berkenaan dibeli pada 2017 itu menjadi kediaman dihuni bersama suami dan seorang anak berusia hampir dua tahun sejak 2018.

“Saya tidak begitu pasti mengenai konsep yang khusus pada penataan ruang kediaman ini.

“Fokus saya ialah merancang dan mereka sesuatu ruang berdasarkan keselesaan selain menggabungkan elemen moden dan klasik.

“Mungkin konsep yang sesuai untuk kenali setiap perincian dekorasi dalam rumah, ia terarah kepada rumah ladang Inggeris dengan sentuhan lebih moden atau ‘modern farmhouse’,” katanya.

Dia merujuk idea moden itu menerusi pilihan perabot antaranya sofa yang berbentuk lurus dan sofistikated.

Sementara untuk elemen klasik, kata Nusaibah, sekali lagi perincian itu dilihat pada pendekatan sama iaitu perabot dan aksesori deko rumah.

“Kalau elemen klasik pula ciri-ciri estetika pada rekaan meja sisi yang mempunyai ciri kesenian halus dimasukkan dalam rekaan lebih ringkas.

“Saya banyak bermain dengan tona warna lembut dan neutral serta penggunaan minimal warna gelap untuk mewujudkan kesan kontra.

“Selain itu, saya seimbangkan penggunaan reka bentuk kontemporari seperti perincian warna keemasan dan logam dengan elemen kayu serta fabrik begitu sinonim dengan konsep gaya rumah ladang,” katanya.

Merujuk pilihan perabot, Nusaibah akan mengunjungi gedung perabot IKEA atau membuat lawatan ke kedai perabot terpakai untuk mencari perabot kayu unik untuk diberi nafas baru, sekali gus menyerikan kediaman.

Jika tidak menemui rekaan sesuai, dia menggunakan khidmat tukang kayu dari Terengganu, @paletbymarcyoe.

Menyentuh kepada susunan tampak terbuka dan luas, kata Nusaibah, dia lebih sukakan penggunaan perabot minimal pada sesuatu ruang.

“Boleh dikatakan tiada perbezaan ketara antara satu ruang dengan ruang lain kerana saya sengaja mewujudkan rekaan ‘seamlessness.’

“Saya mahu ‘mood’ yang tercipta tenang dan selesa apabila berada pada mana-mana ruang pun dalam kediaman ini.

“Saya tidak menggemari ruang yang terlalu padat dan atas sebab itu hiasan yang minimal, tetapi bersaiz besar (bulk).

“Ini supaya ruang tidak kelihatan terlalu kosong dan tidak terlalu sarat pada pandangan mata juga,” katanya.

Cita rasanya terhadap penataan hiasan kediaman itu diakui sesuatu luar kebiasaan dalam kalangan kenalan mahupun keluarga yang pernah datang ke rumah itu.

“Cita rasa saya banyak dipengaruhi penggayaan rumah ladang moden yamg ketika ini popular di luar negara.

“Mungkin disebabkan faktor kami menetap lama di Amerika Syarikat dan Kanada iaitu 10 tahun menyebabkan memilih konsep sedemikian.

“Apatah lagi saya peminat tegar pereka hiasan dalaman dari Amerika Syarikat seperti Joanna Gaines, Amber Lewis dan Jasmine Roth. Meskipun minat saya sentiasa berubah, tetapi masih mengekalkan konsep moden klasik,”katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 7:00am
d