dekotaman

Kekal seri langsir

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

LANGSIR adalah satu daripada elemen yang dapat menyerikan lagi ruang dalam rumah.

Namun, diakui bukan mudah untuk menjaga langsir apatah lagi mengekalkan serinya supaya sentiasa nampak baharu dan bersih.

Apapun, anda boleh mencuba beberapa panduan yang diberikan bagi menjaga dan membersihkan langsir di rumah masing-masing, khususnya menjelang Aidilfitri ini.

1) Langsir terutama panel putih yang sudah kekuningan perlu direndam semalaman sebelum dicuci bagi menghilangkan kotoran. Ia kemudian perlu dibasuh, dibilas dan keringkan seperti biasa.

2) Jika ada kesan degil seperti air kencing kucing dan sebagainya, boleh juga mencuba petua sapukan bahagian berkenaan dengan ubat gigi terlebih dahulu sebelum direndam dengan sabun.

3) Untuk langsir daripada fabrik tebal, rajin-rajinlah untuk sentiasa membuang habuk dengan pembersih bulu ayam dan sebagainya. Penyedut hampagas juga boleh diguna terutama di kawasan bucu langsir yang terlindung dan mempunyai banyak habuk terkumpul.

4) Jika langsir diperbuat daripada fabrik lembut, elakkan daripada menggunakan mesin basuh, sebaiknya selepas rendam, cuci menggunakan tangan. Langsir yang dicuci dengan tangan lebih tahan lama dan tidak mudah rosak.

5) Untuk menjaga dan membersihkan langsir yang diperbuat daripada renda, rendamkan dengan air suam bersama sabun pencuci sebelum bilas.

6) Jangan campur langsir dengan pakaian lain dalam mesin basuh atau merendam dengan baju harian. Kotoran yang ada pada langsir lebih banyak daripada kotoran pakaian harian anda.

7) Jika menggunakan langsir dua atau tiga panel, cuci selalu panel di bahagian paling bawah kerana ia biasanya lebih cepat kotor.

8) Elakkan membasuh tali pengikat langsir dengan mesin basuh, ia sebaliknya hanya perlu direndam dengan sabun untuk menghilangkan kotoran.

9) Jemur langsir di tempat terbuka yang mendapat banyak cahaya matahari untuk memastikan ia kering sekata dan elakkan daripada menyidainya dalam rumah.

10) Langsir yang sudah kering boleh diseterika di bahagian yang terdapat kedutan. Apabila ia dipasang, nampak lebih kemas. Jangan pasang langsir yang berkedut dan 'berkeronyok', ia bukan sahaja mencacatkan pemandangan, tetapi juga mencerminkan pemilik rumah yang 'serabai'.

11) Sebaiknya, langsir perlu digilirkan atau diganti baharu sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi memastikan rumah anda tampak lebih ceria.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 6:30am
d