dekotaman

Koleksi terhad IKEA

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

IKEA Malaysia memperkenalkan koleksi edisi terhad barangan perabot rumah, SAMMANKOPPLA bagi memberi lebih pilihan kepada pengemar setianya menghiasi kediaman.

Koleksi terbaharu yang menggabungkan elemen gaya jalanan Bangkok dan barangan rumah Scandinavia itu dihasilkan menerusi kolaborasi bersama barisan pereka jenama fesyen terkenal Thailand, GREYHOUND ORIGINAL.

Menurut Ketua Kreatif IKEA, Micheal Nikolic, kerjasama dengan GREYHOUND ORIGINAL membolehkan pihaknya mempelajari aspek adaptasi.

Kata Nikolic, menerusi elemen dan sikap jenama itu yang relaks dan penuh kreativiti, mereka berjaya menghasilkan koleksi rekaan perabot terbaharu yang tersendiri.

"Kami percaya SAMMANKOPPLA akan memenuhi keperluan mereka yang bukan sahaja muda di hati malah mencari barangan perabot rumah yang berfungsi dan pada masa sama, memiliki karekteristik unik.

"Selain itu, ia juga boleh disesuaikan dalam pelbagai cara sekali gus membantu dalam memenuhi perbelanjaan dan ruang yang ada," katanya.

Koleksi SAMMANKOPPLA secara asasnya menghubungkan tiga elemen dalam satu idea iaitu gaya hidup moden Bangkok, kepercayaan tradisional masyarakat Thailand dan falsafah kehidupan lestari serta kreativiti gaya jalanan jenama fesyen itu sendiri.

Ia menjadikan koleksi terbaru itu satu aksesori kediaman yang lestari dan menyeronokkan meskipun memiliki ruang yang terhad.

Mengulas lanjut, Pengasas Bersama GREYHOUND ORIGINAL, Bhanu Inkawat berkata, koleksi berkenaan turut dipengaruhi dengan sebuah bandar yang kaya dengan warisan dan sejarah seperti Bangkok serta rasa optimis berterusan, sekali gus menunjukkan ketidaksempurnaan juga sebenarnya dapat sempurna.

Kata beliau, sejak jenama itu mula diperkenalkan pada tahun 1980, pihaknya percaya 'Basic with a Creative Twist' dapat membantu menjadikan kehidupan seharian yang sederhana dan menyenangkan.

"SAMMANKOPPLA adalah peluang keemasan untuk kami menerangkan kepercayaan berkenaan dan menghubungkan dunia dengan warisan Thailand.

"Ia adalah gabungan gaya hidup lama dan baharu yang diterjemahkan menerusi gaya kami yang kreatif dan menyeronokkan.

"Kerjasama dengan IKEA juga memberi peluang dan pengalaman tersendiri di mana kami mempelajari mengenai falsafah jenama berkenaan serta bagaimana mereka sentiasa mencari gaya baharu selain membangunkan idea bagi menghasilkan rangkaian perabot yang bukan sahaja menarik malah berpatutan untuk semua," katanya.

Timbalan Pengarah Peruncitan IKEA Asia Tenggara, Gerrard Jansen pula berkata, dengan gambaran gaya hidup kontemporari yang kuat, objek unik dan reka bentuk ekspresif dari koleksi SAMMANKOPPLA, ia membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mempamerkan keperibadian serta gaya peribadi di kediaman masing-masing.

"Koleksi yang menampilkan 25 produk menarik itu adalah mampu milik dan boleh didapati menerusi laman sesawang IKEA.my.

"Tidak lama lagi ia boleh didapati di semua rangkaian kedai IKEA seluruh negara," katanya.

Sementara itu, pelbagai barangan dalam koleksi berkenaan dihasilkan berdasarkan konsep kepelbagaian fungsi dan penggunaan semula.

Antaranya, perabot yang dibangunkan daripada sistem perancah yang ringan serta fleksibel, lampu yang diilhamkan daripada penggunaan bekas plastik lama atau tikar anyaman straw tradisional yang biasa digunakan oleh masyarakat Thailand dan diberi nafas baru.

Selain itu, sarung kerusi, rak barangan, kusyen hiasan di ruang tamu, pinggan, mangkuk dan gelas, penyangkut kot dan topi, beg pelbagai saiz dalam corak anyaman straw unik, pembahagi bilik, sarung komputer riba, bekas simpanan dan banyak lagi barangan rumah yang menarik untuk dimiliki.

Jadi, jika anda mahukan kelainan dalam menghiasi kediaman, jangan ketinggalan untuk mendapatkan koleksi terbaru berkenaan.

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 6:41am
d