dekotaman

Biar selamat si kecil bergerak

Oleh Hafiz Ithnin

BAGI mereka yang mempunyai anak yang masih kecil terutama bayi jangan ambil mudah mengenai isu kebersihan kediaman kerana ia boleh mendatangkan masalah kesihatan pada si kecil. Apatah lagi, jika bayi anda baharu pandai merangkak.

Di sini beberapa panduan yang boleh anda praktikkan untuk mengemas kediaman bagi memastikan ahli keluarga terutama si kecil dalam keadaan selamat:

1.Pastikan perhiasan mudah pecah berada di tempat selamat

Perkara ini penting kerana bahan mudah pecah boleh mencederakan si kecil contohnya perhiasan seperti pasu bunga jatuh dan pecah. Lebih merisaukan jika serpihan kaca itu terkena kepada mereka.

2. Kerap mengemop lantai

Kadangkala anda melihat lantai di rumah kelihatan licin walaupun tidak dimop sehingga sebulan lamanya, perlu diingat lantai adalah kawasan yang paling berpotensi membawa pelbagai jenis kuman. Apatah lagi, di tempat bermain si kecil.

Luangkan masa sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk mengemop lantai rumah menggunakan sabun pembasmi kuman. Lebih baik lagi, dimop menggunakan air panas.

3. Pastikan permaidani sentiasa dalam keadaan bersih

Bagi mereka yang mempunyai permaidani di rumah jangan ambil mudah mengenai kebersihannya kerana terdapat permaidani yang menjadi tempat pengumpulan habuk.

Jika si kecil anda sering baring atau mengutip mainan mereka di permaidani yang berhabuk, pastinya perkara itu boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka termasuk mengalami alahan.

Jadi, rajinkan diri untuk vakum atau menghantar permaidani ke tempat mencuci bagi memastikan habuk yang tidak nampak pada mata kasar boleh dibersihkan.

4. Wayar dan suis elektrik bertutup

Perkara ini juga amat penting kepada ibu bapa di rumah untuk memastikan tidak berlaku kemalangan kepada ahli keluarga kerana kecuaian terlupa menutup suis elektrik. Silap hari bulan boleh terbakar kediaman!

Sekiranya anda mempunyai anak yang masih kecil pastikan suiz elektrik mempunyai penutup supaya si kecil tidak menjadikannya sebagai alat permainan yang membahayakan diri.

Selain itu, jika sudah mengecas telefon terutamanya pastikan suis sudah dimatikan dan kabel sudah dicabut kerana khuatir si kecil menjadikannya sebagai permainan.

5. Bina penghadang

Sebaik-baiknya jika anda mempunyai anak yang masih kecil sila pastikan mereka tidak mudah untuk akses ke tempat berisiko tinggi untuk kemalangan terutama di tangga, tandas dan dapur.

Ketika ini terdapat banyak jenis penghadang yang boleh dibeli di pasaran untuk bahagian tangga dan dapur khasnya.

Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 6:20am
d