dekotaman

Deko 'misteri' kedai buku

Oleh Nurul Husna Mahmud

'Gasar' dan misteri itu dua perkataan boleh diungkap mengenai konsep atau idea tata rias sebuah kedai yang terletak di pusat beli-belah Mytown, Pudu, Kuala Lumpur.

Mana tidaknya seawal di pintu utama kedai itu, berbanding mempamerkan papan tanda tertera nama kedai, pemiliknya memilih untuk meletakkan papan peringatan keselamatan.

Imej dipaparkan adalah mesej bergambar mengenai kemungkinan risiko bakal dihadapi pelawat yang mengunjungi ruang kedai berkeluasan 2,900 meter persegi itu. Ia tidak ubah seperti perjalanan menjelajah gua berliku berbanding gedung bahan bacaan.

Dengan tona lampu suram dan semestinya dinding konkrit sedikit gelap selain perincian lantai menggunakan konsep sama beserta batu hiasan besar serta tajam di sudut tertentu, ia satu transisi baharu bagi mereka yang berkunjung ke sebuah kedai buku BookXcess ini.

Kelihatan juga kolum berbentuk lingkaran yang menempatkan buku dan tempat duduk, boleh mengaitkan pengalaman membaca di sudut itu dengan menikmati suasana tenang sunyi dan misteri.

Begitu juga penggunaan aksesori iaitu paling menonjol sekali adalah penggunaan tab mandi bagi menempatkan timbunan buku selain piano.

Menurut pengasas bersama BookXcess Andrew Yap, seperti mana beliau merintis kepada gerakan atau anjakan baharu dalam perniagaan buku, pendekatan sama digunakan dalam menata hias ruang kedai.

"Kami tidak pernah memilih jalan yang mudah atau kaedah konvensional bagi menarik perhatian orang membaca buku. Perkara yang sama kami lakukan dalam hiasan dalaman atau konsep rekaan kedai.

"Setiap kedai perlu datang dengan 'persembahan' atau visual berbeza baik susun atur dan suasananya supaya mampu menarik perhatian terutama golongan yang bukan pembaca buku datang dan mula membeli buku.

"Ideanya dalam kedai buku tidak hanya menempatkan rak, kaunter atau buku semata-mata, sebaliknya transformasi kepada pengalaman menjadi ruang membeli, membaca, bekerja, termasuk galeri dan ruang makan serta sesuai dengan generasi masa kini yang mahu latar bergambar menarik untuk diletakkan dalam media sosial," katanya.

Untuk tampil konsep 'raw' (mental) dan industri pada sebahagian besar struktur selain persekitaran juga menerima reaksi tidak selamat dalam kalangan pengunjung, Andrew mengambil langkah berani dengan menggunakan khidmat pereka baharu untuk realisasikan konsep terbabit.

"Ketika pereka tampilkan idea atau pelan rekaan, ia sebenarnya adalah inspirasi daripada kota metropolitan New York. Ia berdasarkan kolum rak tinggi mewakili blok bangunan di bandar terbabit.

"Kemudian diperincikan pula dengan elemen semula jadi iaitu penggunaan material batu dan kayu sebagai 'esen' penting kepada imej itu.

"Tidak lupa elemen pencahayaan juga satu lagi aspek dimanupulasi dalam tata hias kedai ini. Ada sudut tertentu seperti Piazza, dengan sengaja diberi pencahayaan berlebihan iaitu dengan dinding kaca berbingkai terbuka berbanding ruang berhampiran pintu masuk lebih gelap.

"Ini dapat 'umpan' pengunjung dari sudut atau bahagian lain untuk masuk dan teroka pelosok ruang yang ada," katanya.

Turut memiliki galeri pameran tersendiri, ruang dalam juga menempatkan restoran Jepun, kafe selain ruang bekerja menghadap pemandangan kota.

"Saya juga peminat dan pengumpul koleksi seni baik arca mahupun lukisan dan memilih beberapa karya milik artis berbakat di luar untuk menjadi penyeri ruang kedai ini.

"Antaranya arca gajah hasil artis dari Thailand dan patung seperti Ronald McDonald di pintu masuk.

"Selain itu, ada juga 'contengan' imej karakter kartun tikus pada sudut kaki dinding tertentu memberi imej 'nakal' dan boleh menjadi latar unik bagi mereka yang menyukai aktiviti swafoto atau bergambar untuk diletakkan dalam akaun sosial media mereka," katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2022 @ 6:04am
d